KUALA LUMPUR - Seramai kira-kira 12 individu daripada kalangan agensi penguat kuasa serta pihak yang menguruskan tender kini berada dalam radar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan kartel tender dan pembekalan diesel di Sarawak.
Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin berkata, sindiket berkenaan antara yang terbesar dikesan di Sibu.
“Ada lima hingga enam orang daripada tiga agensi penguat kuasa dalam radar. Ada juga pihak yang menguruskan tender dan jualan… dalam enam hingga tujuh orang.
“Ini yang kita kesan daripada maklumat yang diperoleh,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di Pejabat SPRM Kuala Lumpur.
Beliau berkata, dipercayai bayaran rasuah daripada kartel terbabit diberikan secara tunai.
Katanya, SPRM juga tidak menolak kemungkinan akan ada lagi beberapa siri tangkapan.
Dalam pada itu, beliau tidak mendedahkan butiran lanjut mengenai tindakan sitaan bernilai jutaan ringgit yang telah dilaksanakan SPRM dengan kerjasama agensi penguat kuasa lain.
Laporan eksklusif Sinar Harian pada Selasa mendedahkan kegiatan sebuah syarikat yang menjadi kartel dalam perniagaan pembekalan bahan api ke seluruh Sarawak, dipercayai menyebabkan kerugian puluhan juta ringgit.
Rangkaian sindiket dipercayai membayar wang rasuah kepada ‘orang dalam’ sebagai balasan untuk memperoleh kontrak atau tender pembekalan minyak diesel di negeri tersebut.
Hasil daripada pemberian rasuah itu, sindiket terbabit berjaya memperoleh tender serta kontrak pembekalan diesel komersial kepada salah sebuah anak syarikat kerajaan negeri.
Sindiket itu dipercayai memonopoli tender berkenaan sejak 10 tahun lalu hingga kini.
Mereka berjaya memenangi tender kerana menawarkan harga minyak diesel lebih rendah berbanding syarikat pengeluar minyak besar lain.
Selain itu, bekalan minyak diesel untuk kerajaan negeri juga dipercayai diseludup dan diseleweng kepada kapal luar pesisir (offshore).