KUALA LUMPUR - Ketua sebuah pertubuhan antara tujuh individu ditahan susulan insiden kekecohan yang berlaku ketika operasi pengosongan 37 rumah teres di Kampung Sungai Baru, di sini, pada Khamis.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, kesemua lelaki yang ditahan berusia antara 15 hingga 50 tahun kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas serta mencederakan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman.
“Siasatan awal juga mendapati beberapa tangkapan itu mempunyai kaitan dengan sebuah pertubuhan.
“Ada antara mereka merupakan ahli, dan ada juga yang bertindak sebagai ketua dalam pertubuhan itu. Bagaimana mereka terlibat dan sama ada mempunyai agenda lain, ia masih dalam siasatan,” katanya pada sidang akhbar di Balai Trafik Kuala Lumpur, Jumaat.
Fadil berkata, pihaknya telah membuka tiga kertas siasatan mengikut Seksyen 186, 353 dan 324 Kanun Keseksaan.
“Akan ada tangkapan selepas ini dan beberapa individu lagi masih kita kesan,” katanya.
Beliau memaklumkan, daripada tujuh tangkapan itu, seorang suspek berusia 26 tahun sudah didakwa di mahkamah. Lelaki itu mengaku bersalah dan dikenakan denda RM1,500.
“Enam lagi suspek masih dalam tahanan reman, dengan permohonan sambungan reman telah dikemukakan.
“Semakan mendapati individu yang ditahan itu tidak beralamat di Kampung Sungai Baru, namun kita percaya mereka ada kaitan dengan bantahan terhadap operasi pengosongan yang dilaksanakan,” jelasnya.
Mengulas lanjut, Fadil berkata Sulizmie masih menerima rawatan dan berada dalam keadaan baik.
“Polis meminta bantuan orang awam untuk menyalurkan maklumat atau sesiapa yang mempunyai video berkaitan insiden kekecohan. Jika ia boleh dijadikan bukti, tolong kongsikan kepada polis bagi membantu siasatan,” ujarnya.
Pada Khamis lalu, media melaporkan berlaku kekecohan ketika operasi pengosongan kediaman di Kampung Sungai Baru.
Insiden itu dipercayai tercetus apabila beberapa individu cuba merempuh masuk ke kawasan operasi.