SEPANG – Penyeludupan ubatan dan kosmetik terlarang melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dikesan dibawa masuk oleh warga asing yang datang sebagai pelancong.
Bukan itu sahaja, kegiatan itu turut menggunakan khidmat kargo dengan cara membuat pengikraran palsu.
Itu modus operandi yang dikesan Pasukan Penguat Kuasa Farmasi Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) KLIA hasil 124,244 pemeriksaan konsaimen serta penumpang yang membawa rampasan mencecah RM529,093 bagi tempoh tahun 2024 hingga Julai lalu di KLIA.
Komander AKPS KLIA, Ibrahim Mohd Yusof berkata, bagi penyeludupan melalui penumpang, kebanyakan dikesan dilakukan oleh warga Bangladesh, India dan Pakistan.
Menurutnya, barangan ubatan yang lengkap dengan pembungkusan itu akan dimasukkan ke dalam bagasi.
“Kebiasaannya melibatkan ubat tahan sakit (antibiotik), ubat gastrik, perangsang seks dan ubat tidur yang tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Kebanyakan penumpang pesawat ini dipercayai berperanan sebagai runner atau ‘keldai’ dan ubat-ubatan ini disorokkan bersama barangan makanan atau celah lipatan pakaian dalam bagasi,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di KLIA di sini baru-baru ini.
Tambahnya, ubatan yang dibawa masuk perlulah mempunyai preskripsi doktor selain kuantiti maksimum bagi sebulan kegunaan sahaja.
Jelas Ibrahim, sekiranya tiada preskripsi, penahanan dan rampasan akan dilakukan.
Mengulas taktik penyeludupan melalui kargo, Ibrahim mendedahkan, pelaku akan membuat pengikraran palsu dengan mengisytihar barangan sebagai pakaian atau makanan bagi mengelak pemeriksaan pihak berkuasa.
“Apabila pasukan penguat kuasa farmasi membuat pemeriksaan fizikal, terdapat kandungan ubat dengan kuantiti besar yang bernilai ribuan ringgit.
“Mereka licik, ubatan atau barangan kosmetik haram ini akan disorok dalam timbunan pakaian,” ujarnya.
Beliau berkata, produk ubatan dan kosmetik haram ini dipercayai akan dijual semula sama ada di premis runcit, kaki lima, pasar malam atau secara dalam talian.
Katanya lagi, antara bahan larangan yang dikesan dalam produk terbabit ialah racun berjadual dan ubat terkawal iaitu tadalafil, sildenafil, vardenafil, dexamethasone serta streoid.
“Terdapat juga bahan kosmetik berbahaya iaitu hydroquinone, tretinoin, glutathione dan lain-lain bahan antaranya sibutramine serta chlorpheniramine,” jelasnya.
Dedah beliau, ubat pelangsing badan, ubat tenaga batin, ubatan tradisional, produk penjagaan rambut dan kulit selain krim pencerah, losyen serta serum antara yang sering dirampas pihak berkuasa di KLIA.
“Ubat-ubatan yang dirampas kebanyakannya dibawa masuk dari India manakala produk kosmetik paling banyak dari Thailand, Korea Selatan serta China.
“Kesemua barangan ini ialah produk tidak berdaftar dan kosmetik yang tidak bernotifikasi,” ujarnya.
Bahan terlarang boleh rosakkan organ
Menurut Ibrahim, pengambilan produk mengandungi bahan larangan boleh mendatangkan risiko kesihatan yang serius terutama apabila digunakan tanpa pengawasan profesional.
“Penggunaan steroid dan ubat terkawal secara tidak terkawal boleh menyebabkan komplikasi seperti kerosakan organ dalaman, penindasan sistem imun dan ketidakseimbangan hormon.
“Bahan kosmetik berbahaya seperti hydroquinone dan tretinoin boleh menyebabkan iritasi kulit, perubahan pigmentasi, kerosakan kulit jangka panjang serta risiko kanser kulit.
“Bahan seperti sibutramine serta phenothiazine derivatives boleh memberikan kesan kepada sistem kardiovaskular dan mempengaruhi fungsi sistem saraf pusat,” ujarnya.
Kata beliau, penggunaan produk ubatan tidak berdaftar dan kosmetik tidak bernotifikasi boleh mengancam keselamatan dan kesihatan, malah terdapat keadaan yang boleh menyebabkan risiko kehilangan nyawa.
Tegasnya, tindakan undang-undang akan diambil mengikut Peraturan 7(1)(a) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 bagi kes berkaitan produk ubat tidak berdaftar.
“Kes juga disiasat di bawah Peraturan 18A(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 bagi kes berkaitan kosmetik tidak bernotifikasi,” ujarnya.