SHAH ALAM – Seorang pengarah syarikat sistem keselamatan dan seorang lagi bekas pengarah syarikat kontraktor elektrik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu atas pertuduhan memberi suapan lebih RM2.4 juta bagi mendapatkan tender berkaitan projek pembinaan pusat data pada 2024 dan 2025.
Seow Kian Ang, 53, yang memakai baju kemeja hitam dan Yong Chun Jiat, 38, berkemeja biru muda, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin.
Mengikut pertuduhan, Kian Ang didakwa atas empat pertuduhan memberi wang berjumlah RM1.352 juta, iaitu empat kali suapan masing-masing RM338,000 kepada seorang lelaki berusia 34 tahun yang juga pengurus kontrak sebuah syarikat, melalui seorang lagi lelaki berusia 39 tahun.
Perbuatan itu didakwa sebagai upah membantu syarikatnya mendapatkan tender ‘Sub-Contractor for Design, Planning, Supply, Delivery, Installation, Testing, Commissioning, Warranty and Comprehensive Maintenance of Security System’.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Bandar Sunway dan Ara Damansara, di sini, antara 1 Ogos 2024 hingga 10 Julai 2025.
Setiap pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 16(b)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, Chun Jiat didakwa atas enam pertuduhan memberi suapan sebanyak RM1.05 juta, iaitu wang tunai masing-masing RM100,000, RM96,000, RM150,000, RM154,000, RM150,000 dan RM400,000 kepada pengurus kontrak yang sama.
Perbuatan itu sebagai upah membantu syarikat tertuduh mendapatkan tender ‘Sub-Contractor for Design, Planning, Supply, Delivery, Installation, Testing, Commissioning, Warranty and Comprehensive Maintenance of Electrical Low Voltage Works (External LV Package) (Sub-Contract)’.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Bandar Sunway, Ara Damansara dan Temasya Square, Glenmarie, antara 5 Ogos 2024 hingga 18 Mei 2025, mengikut seksyen yang sama.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Farah Ezlin Yusop Khan, memohon mahkamah tidak menawarkan ikat jamin kepada kedua-dua tertuduh.
Bagaimanapun, sekiranya mahkamah mahu menggunakan budi bicara untuk memberikan jaminan, beliau mencadangkan kadar itu ditetapkan sebanyak RM500,000 dengan seorang penjamin tempatan bagi setiap tertuduh.
“Ia termasuk syarat tambahan menyerahkan pasport, melaporkan diri di pejabat SPRM sekali setiap bulan dan tidak mengganggu saksi pendakwaan sehingga kes selesai.
“Jumlah itu munasabah dengan mengambil kira kesalahan berkenaan sangat serius, malah termasuk dalam kes yang tidak boleh dijamin,” katanya yang hadir bersama Timbalan Pendakwa Raya Julaila Jamaludin, Nidzuwan Abd Latip dan ‘Atirah Mohd Azuarizanuddin.
Bagaimanapun, peguam Datuk Geethan Ram yang mewakili Kian Ang merayu agar ikat jamin itu dikurangkan kerana jumlah yang dicadangkan bersifat keterlaluan.
“Dia sentiasa memberi kerjasama dan tidak pernah gagal hadir ke pejabat SPRM untuk memberi keterangan, sekali gus menunjukkan tiada risiko untuk melarikan diri.
“Kami berharap mahkamah tidak mengenakan syarat tambahan yang melecehkan,” katanya.
Sementara itu, peguam Datuk N. Sivananthan yang mewakili Chun Jiat merayu mahkamah mengurangkan jumlah jaminan berkenaan kerana anak guamnya perlu menyara keluarga.
Menurutnya, anak guamnya baharu sahaja meletakkan jawatan pada Selasa, maka tiada isu untuk mengganggu saksi pendakwaan.
“Jumlah jaminan yang dicadangkan pihak pendakwaan tidak munasabah kerana anak guam sentiasa memberi kerjasama sepanjang kes ini disiasat,” katanya.
Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Mohd Nasir membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin sebanyak RM100,000 dengan seorang penjamin.
“Setiap tertuduh dikehendaki menyerahkan pasport kepada mahkamah dan tidak mengganggu saksi,” katanya sambil menetapkan sebutan semula kes pada 16 Mac depan.