SIRI serbuan besar-besaran ke atas rokok seludup, arak, malah produk vape telah merampas jutaan ringgit barangan terlarang, sekali gus memberi mesej tegas kepada rangkaian penyeludupan yang sudah lama berakar umbi di negara ini.
Gerakan penguatkuasaan ini diterajui oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pelbagai agensi persekutuan melalui operasi yang disusun secara rapi.
Pada bulan Ogos sahaja, dua operasi besar menjadi tajuk utama:
- Ops Kontraban Mega 1.0 (26-27 Ogos) melibatkan 11 negeri dengan 174 premis diserbu, merampas barangan bernilai lebih RM12.2 juta termasuk 4.5 juta batang rokok dan lebih 100,000 liter arak. Hampir 200 suspek ditahan.
- Ops Sikaro (19-20 Ogos) yang diketuai SPRM menyasarkan sindiket penyeludupan tembakau bernilai tinggi, membekukan akaun bank bernilai RM218 juta dan menggantung lesen import utama serta melumpuhkan rangkaian yang bertanggungjawab atas kerugian hasil cukai dianggarkan RM250 juta dalam tempoh empat tahun.
Serbuan itu berasaskan risikan selama beberapa bulan termasuk rampasan gudang di Kuching pada Mac dan Julai bernilai lebih RM11 juta, serta serbuan bersepadu di Selangor, Pulau Pinang dan Sabah yang meraih jutaan ringgit lagi hasil cukai tidak dibayar.
Rokok seludup murah bukan sekadar isu cukai, ia adalah masalah jenayah. Setiap batang rokok haram membiayai sesuatu yang lebih gelap.
Sindiket jenayah terancang menguasai perdagangan tembakau haram, sering kali sama dengan rangkaian yang terlibat dalam pengedaran dadah, pemerdagangan manusia, penyeludupan senjata dan jenayah kewangan.
Di United Kingdom (UK) misalnya, pada 2024 sahaja, tembakau haram menyebabkan kerajaan UK kehilangan hasil cukai sebanyak £2 bilion (RM11.8 bilion) dan sejak 2010 jumlah kerugian mencecah £26.5 bilion (RM156 bilion).
Wang tersebut yang sepatutnya digunakan untuk membaik pulih sekolah, penjagaan kesihatan dan pembangunan komuniti tetapi disalurkan ke dalam rangkaian jenayah antarabangsa.
Mereka bukan sekadar peniaga kecil. Ini adalah kumpulan jenayah ganas antarabangsa yang memperdagangkan manusia, menyeludup dadah dan senjata serta mengalirkan wang ke seluruh sempadan.
Malaysia turut berdepan ancaman serupa. Dengan enam daripada 10 batang rokok yang dihisap adalah rokok haram, negara ini secara tidak langsung membiayai sindiket jenayah pada kos nasional yang besar.
Apa yang kelihatan sebagai ‘rokok murah’ sebenarnya adalah saluran yang menyuburkan jenayah terancang, melemahkan peniaga sah dan menggugat kestabilan komuniti.
Ketua Pengarah Kastam, Datuk Anis Rizana Mohd Zainuddin menjelaskan dengan tegas bahawa penyeludupan rokok telah menyebabkan kerajaan menanggung kerugian sehingga RM5.1 bilion dalam cukai rokok setiap tahun.
“Angka ini menjadi cabaran kepada kami untuk membanteras aktiviti haram ini,” katanya.
Perdagangan haram merosakkan setiap lapisan masyarakat. Peniaga sah tidak mampu bersaing dengan penjenayah yang menjual di bawah harga pasaran, menyebabkan penutupan kedai dan kehilangan pekerjaan, sekali gus menghancurkan kawasan perniagaan tempatan.
Penguatkuasaan sahaja tidak mencukupi. Di UK, meskipun rampasan meningkat, rokok haram tetap mudah diperoleh dengan harga murah, sebahagiannya kerana rakyat enggan melaporkan.
Kajian mendapati 70 peratus orang ramai takut menerima tindak balas jika melaporkan penjual. Situasi sama besar kemungkinan berlaku di Malaysia, di mana sindiket sering beroperasi dalam komuniti, dilindungi rasa takut, rasuah, atau kerjasama tempatan.
Inilah sebabnya pakar menegaskan bahawa tindakan keras Malaysia mesti diperkukuh iaitu dengan menggabungkan penguatkuasaan, tekad politik, dan kesedaran awam.
Peningkatan penguatkuasaan ini mencerminkan keperluan mendesak dan peluang besar. Selama bertahun-tahun, pasaran gelap rokok di Malaysia antara terbesar di dunia, menjadi lubang fiskal berterusan yang kebal terhadap usaha penguatkuasaan separuh masak.
Namun, siri serbuan terbaharu memberi isyarat perubahan - bukan sekadar menangkap penyeludup - tetapi memutuskan rantaian bekalan, membekukan aliran modal dan melumpuhkan sindiket.
Jika diteruskan dan terlindung daripada rasuah atau campur tangan politik - pendekatan ini boleh menjadi titik perubahan dalam perjuangan panjang Malaysia menentang perdagangan haram, melindungi bukan sahaja hasil negara tetapi juga komuniti, perniagaan dan keselamatan negara.
Justeru, jika ingin memperkasakan Kastam, inilah masanya!
*Azmi Tarmizi ialah Pengarang Eksekutif Editorial Sinar Harian