Tuntutan UMANY mansuh matrikulasi bukan pendirian rasmi UM - Naib Canselor

Iklan
Kenyataan UM yang dikongsikan di Facebook rasmi universiti itu mengenai isu sistem matrikulasi yang dikeluarkan UMANY.

SHAH ALAM– Kenyataan yang dikeluarkan oleh pertubuhan pelajar University of Malaya Association of New Youth (UMANY) berhubung isu sistem matrikulasi tidak mencerminkan pendirian rasmi Universiti Malaya (UM).

Naib Canselor Universiti Malaya, Profesor Datuk Seri Ir Dr Noor Azuan Abu berkata, UM sentiasa menjunjung tinggi kebebasan bersuara dalam kalangan warga kampus, selaras dengan semangat keterbukaan dan intelektualisme yang menjadi asas sesebuah institusi pengajian tinggi.

Iklan
Iklan

"Bagaimanapun kebebasan itu perlu diiringi dengan rasa tanggungjawab serta pertimbangan yang wajar terhadap sensitiviti dan implikasi kenyataan yang dibuat, khususnya melibatkan dasar awam.

"Sistem matrikulasi negara merupakan satu sistem pendidikan yang menyeluruh yang telah terbukti berperanan dalam menyediakan akses kepada pendidikan tinggi kepada pelajar daripada pelbagai latar belakang," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Iklan

Beliau turut menjelaskan bahawa ia adalah sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan dalam memastikan peluang pendidikan yang lebih inklusif dan saksama untuk semua.

"Universiti Malaya kekal komited menyokong dasar pendidikan negara yang berteraskan prinsip keadilan, kebolehcapaian dan pembangunan modal insan demi kemajuan negara," katanya.

Iklan

Terdahulu, UMANY menggesa kerajaan memansuhkan sistem matrikulasi dan menggunakan keputusan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) sebagai penanda aras tunggal kemasukan ke universiti awam.

Presidennya, Tang Yi Ze, sebelum ini berhujah bahawa silibus STPM lebih baik kerana lebih mencabar serta diiktiraf di peringkat antarabangsa.