SHAH ALAM - Orang ramai digesa tidak mengadakan sebarang perhimpunan di tempat awam sepanjang tempoh lawatan rasmi Perdana Menteri India, Narendra Modi ke Malaysia selama dua hari bermula esok.
Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam satu kenyataan berkata, pihak polis juga akan berjumpa dengan penganjur perhimpunan dan meminta mereka memberi kerjasama tidak meneruskan perhimpunan yang dirancang.
"KDN melalui pasukan polis bertanggungjawab menyusun semua persiapan keselamatan sempena lawatan tersebut demi memastikan tiada sebarang insiden yang boleh mencetuskan kekacauan dan mengganggu ketenteraman awam.
"Lawatan rasmi tetamu negara ini mencerminkan hubungan diplomatik yang kukuh dan saling menghormati antara kedua-dua negara," ujarnya pada Jumaat.
Terdahulu, penyelaras Gerakan Anti-Rumah Anutan Haram Zamri Vinoth mengesahkan bahawa polis telah dimaklumkan tentang Himpunan Anti Rumah Anutan Haram seperti yang dikehendaki di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012.
Sebanyak 141 NGO dijangka menyertai perhimpunan tersebut, yang dijadualkan bermula pukul 8 malam berhampiran kompleks beli-belah Sogo, Kuala Lumpur pada esok bagi memastikan undang-undang terhadap pencerobohan dan pembinaan rumah ibadat secara haram dikuatkuasakan.
Tambah kenyataan itu, sebagai kementerian yang dipertanggungjawabkan menjaga keselamatan dalam negara, KDN melalui Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan terus melaksanakan tanggungjawabnya secara profesional dan tegas.
"Ia bagi menjamin keselamatan rakyat serta kestabilan negara," ujarnya.