Polis kesan bekas suami mangsa tikaman di Guar Chempedak

Iklan
Seorang lelaki dan wanita ditemukan maut dengan kesan tikaman di Taman Nona, Guar Chempedak pada Khamis.

ALOR SETAR - Polis sedang mengesan bekas suami kepada wanita yang maut akibat beberapa tikaman di Taman Nona, Guar Chempedak, Yan bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Yan, Superintenden Mohamad Hamizi Abdullah berkata, siasatan terperinci turut dijalankan bagi mengenal pasti motif kejadian.

Iklan
Iklan

"Kita akan melakukan siasatan secara menyeluruh dari semua segi dalam usaha menyelesaikan kes ini secepat mungkin," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan seorang lelaki berusia 30 tahun dan seorang wanita berusia 28 tahun ditemukan meninggal dunia dengan beberapa kesan tikaman.

Iklan

Polis menerima maklumat berhubung kejadian itu kira-kira jam 9.40 malam.

Mangsa lelaki ditemukan dalam keadaan terlangkup di atas jalan di hadapan sebuah rumah, manakala mangsa wanita ditemui di dalam sebuah kereta jenis Proton Wira, tidak jauh dari lokasi mayat lelaki.

Iklan

Jarak antara kedua-dua lokasi mangsa ditemukan adalah kira-kira tujuh meter.

Mayat kedua-dua mangsa telah dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini untuk proses bedah siasat.

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.