KUALA LUMPUR – Seorang pegawai imigresen dihukum penjara lapan tahun dan denda RM150,000 oleh Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat atas satu pertuduhan membuat dokumen palsu untuk penyeludupan migran membabitkan seorang lelaki warga Republik Vanuatu, tiga tahun lalu.
Hakim, Datuk Azhar Abdul Hamid menjatuhkan hukuman itu selepas mendapati tertuduh, Penolong Pegawai Penguasa, Shamsudin Ishak, 51, bersalah atas pertuduhan berkenaan.
“Setelah meneliti pembelaan yang dikemukakan dan keseluruhan keterangan pada tahap maksimum, saya mendapati tertuduh gagal menimbulkan keraguan munasabah.
“Saya memutuskan pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes ini. Justeru, Shamsudin, kamu didapati bersalah dan disabitkan kesalahan sebagaimana pertuduhan,” katanya.
Mahkamah memerintahkan bapa kepada enam anak itu dihukum penjara setahun sekiranya gagal membayar denda terbabit.
Bagaimanapun, hakim membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman selepas peguam, T Harpal Singh yang mewakili tertuduh memberitahu akan membuat rayuan berhubung keputusan berkenaan di Mahkamah Rayuan.
Mahkamah turut menaikkan jaminan daripada RM15,000 kepada RM30,000 dengan seorang penjamin.
Semasa prosiding, Harpal Singh merayu agar anak guamnya dikenakan hukuman ringan dengan alasan kes tersebut merupakan kesalahan pertama tertuduh.
Menurutnya, Shamsudin yang hadir ke mahkamah dengan mengenakan anduh di tangan kiri bertugas sebagai pegawai di jabatan berkenaan selama 27 tahun.
“Dia tidak pernah mempunyai rekod jenayah lampau dan mengaku kesal termasuk memohon maaf atas kesalahan yang dilakukan.
“Ketika ini, dia diberi cuti sakit sehingga 8 Oktober depan selepas menjalani pembedahan akibat jangkitan serius di tangan sehingga menampakkan tulang,” katanya.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Noor Haslinda Che Seman berkata, tertuduh selaku pegawai imigresen telah diamanahkan untuk menjaga keselamatan negara menerusi kawalan sempadan.
“Tertuduh sepatutnya menjadi benteng pertama untuk mempertahankan kedaulatan negara, namun memilih untuk bersubahat membantu dalam kemasukan warga asing secara tidak sah.
“Tertuduh telah mengkhianati amanah dan tanggungjawab tersebut dengan melakukan kesalahan yang bertentangan dengan fungsi serta jawatannya,” katanya yang hadir bersama Timbalan Pendakwa Raya, Nadia Mohd Izhar dan Christopher Enteri Mawan.
Beliau berkata, ini merupakan kes pertama seumpamanya didakwa, dibicarakan dan disabitkan kesalahan di negara ini.
Susulan itu, pendakwaan memohon tertuduh dikenakan hukuman berat sebagai mesej bahawa mahkamah tidak bertolak ansur terhadap penjawat awam yang menyalah guna kuasa demi kepentingan peribadi.
Perbicaraan kes itu bermula November 2022 dengan 14 saksi pendakwaan dan dua saksi pembelaan telah memberi keterangan.
Pada 7 Mac lalu, Hakim Azhar memerintahkan Shamsudin membela diri atas pertuduhan tersebut selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya di akhir kes pendakwaan.
Mengikut pertuduhan, Shamsudin yang kini digantung tugas didakwa memalsukan dokumen perjalanan Pas MM2H bagi seorang lelaki warga Vanuatu, Li Xingqiang, bagi tujuan memudahkan penyeludupan migran. Kesalahan itu didakwa dilakukan di pejabat unit MM2H, Jabatan Imigresen Malaysia, Putrajaya, pada Jun 2022.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 26E Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak melebihi RM500,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.