Utamakan amalan ESG dalam pertanian di Cameron Highlands - Sultan Pahang

Iklan
Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah titah agar pengusaha pertanian di Cameron Highlands mengutamakan amalan berteraskan ESG bagi memastikan hasil mereka kekal diterima di pasaran antarabangsa. Foto FB Kesultanan Pahang

KUANTAN – Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah agar pengusaha pertanian di Cameron Highlands mengutamakan amalan berteraskan Persekitaran, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) bagi memastikan hasil mereka kekal diterima di pasaran antarabangsa.

Titah baginda, kegagalan mematuhi elemen ESG boleh menyebabkan produk pertanian tempatan ditolak negara luar.

Iklan
Iklan

"Pengusaha kebun di Cameron Highlands perlu menukar corak pertanian kerana dunia sekarang semakin canggih memandangkan aspek ESG ini perlu kita terapkan.

"Tanpa elemen ESG ini mungkin produk yang kita keluarkan ini tidak akan dapat dijual di peringkat antarabangsa. Ia sudah berlaku kerana saya sudah dimaklumkan," titah baginda seperti dilaporkan Facebook Kesultanan Pahang.

Iklan

Baginda bertitah demikian ketika merasmikan Sustainable Modern Agriculture Cameron Highlands (SMACH) Agropark Fasa 1 di Tringkap, Cameron Highlands pada Khamis.

Dalam titah sama, Al-Sultan Abdullah menegaskan satu pendekatan baharu perlu dirangka melalui kerjasama kerajaan, pakar pertanian serta pekebun bagi meningkatkan kaedah dan corak pertanian di kawasan tanah tinggi itu.

Iklan

Menurut baginda, perkara itu perlu dilihat secara serius dan terperinci selain menggunakan satu pendekatan yang baharu.

"Saya harap dengan kerjasama pihak kerajaan, pakar pertanian serta para pekebun di sini perlu ada libat urus.

"Perlu ada perbincangan untuk meningkatkan corak atau kaedah yang tepat di Cameron Highlands ini," titah baginda.

Sementara itu, Kesultanan Pahang dalam hantaran berasingan menjelaskan Al-Sultan Abdullah tidak mahu melihat penerokaan haram berlaku di negeri ini khususnya di Cameron Highlands.

Baginda bertitah, besar harapan agar tiada lagi kawasan yang dibuka sewenang-wenangnya, bukit yang cantik ditarah tanpa mengambil kira ketinggiannya.

"Kita perlu mulakan prosedur dan protokol baharu. Saya seru supaya semua ambil tahu hal ini. Saya dah maklum pada kerajaan negeri dan Exco supaya ambil tahu hal ini secara mendalam dan jadikan ini satu 'benchmark' kepada projek-projek akan datang.

"Kita tidak mahu lagi lihat bukit dipotong sewenang-wenangnya dan tanpa peraturan yang sebenarnya dan tuan projek berkenaan mesti bertanggungjawab pada bukit-bukit atau tanah-tanah yang dipotong," titah baginda.