KOTA TINGGI – Polis membuka kertas siasatan berhubung rakaman video tular yang memaparkan dua kanak-kanak menjenguk keluar dari tingkap sebuah kereta sedang bergerak di Jalan Kota Tinggi berhampiran Muzium Kota Tinggi.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, pihaknya mengesan video berdurasi 49 saat itu yang dimuat naik di aplikasi X sekitar jam 1.50 tengah hari pada Khamis.
“Rakaman menunjukkan kereta jenis Perodua Bezza berwarna hitam dipandu di kawasan berkenaan dengan dua kanak-kanak kelihatan mengeluarkan kepala melalui tingkap.
“Polis mengambil maklum mengenai kejadian itu dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak lebih RM50,000 jika sabit kesalahan,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Sebelum ini, tular di media sosial video berdurasi 49 saat memaparkan kereta tersebut dalam perjalanan di atas jalan raya, dengan dua kanak-kanak kecil keluarkan kepala di bahagian tingkap di belakang tempat duduk pemandu.
Video tersebut juga memaparkan had kelajuan ketika itu 85 kilometer sejam (km/j) dan pemilik video berkenaan membunyikan hon, namun tiada tindakan.
Pemilik video berkenaan juga menegur pemandu dan pemandu menerima teguran dengan menyatakan isterinya menjaga dua anak kecil itu di bahagian tempat duduk penumpang belakang.
Yusof memaklumkan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Zakaria Ab Wahab di talian 012-9751290, mana-mana balai polis berdekatan atau Hotline Polis IPD Kota Tinggi di talian 07-8831222.