LANGKAWI - Masa depan ekonomi sosial Islam diyakini akan terus berkembang dengan penggunaan teknologi moden termasuk kecerdasan buatan (AI) yang dipandu oleh Maqasid Syariah.
Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah bertitah agar semua institusi kewangan sosial Islam sama ada dalam mahupun luar negara digalakkan untuk berani menerima perubahan.
Baginda mengingatkan agar sebarang perubahan yang memanfaatkan teknologi itu dilakukan tanpa mengabaikan tradisi mahupun menjejaskan etika.
“Beta ingin mengajak semua institusi kewangan sosial Islam untuk menerima cara pemikiran baharu ini.
“Hari ini, kita perlu berdiri teguh dan berani menyertai usaha berinovasi serta membentuk dunia dengan berpandukan al-Quran dan Sunnah, demi membawa rahmat dan keadilan kepada ummah,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian ketika merasmikan Persidangan Zakat Antarabangsa Kedah ke-4 tahun 2025 bertemakan ‘Kecerdasan Buatan, Pemacu Inovasi dalam Ekonomi Sosial Islam, Memperkasa Ummah Yang Lebih Baik’ di sini pada Khamis.
Turut berangkat, Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin. Hadir sama, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Sultan Sallehuddin bertitah, teknologi AI bukan lagi sesuatu yang asing dalam dunia hari ini, malah masyarakat perlu menerima kehadiran AI dengan memanfaatkannya dan melaksanakannya secara betul serta beretika.
“Jika bank mampu menggunakan teknologi AI untuk mengesan penipuan, institusi zakat juga boleh memanfaatkannya bagi mengesan individu yang kelaparan (miskin).
“Jika AI mampu meramal krisis kewangan, mengapa kita tidak gunakannya untuk mengurangkan masalah kemiskinan di sekeliling kita?
“Kita perlu beri perhatian terhadap isu-isu mendesak pada zaman ini, selain memiliki keberanian untuk membayangkan masa depan,” titah baginda.
Sultan Kedah menegaskan, zakat bukan semata-mata instrumen kewangan, sebaliknya kewajipan Ilahi yang menghubungkan golongan berada dengan mereka yang kurang berkemampuan.
“Hari ini, kita berdiri di persimpangan dua kuasa besar, iaitu kebijaksanaan agama kita yang abadi dan kemajuan teknologi tanpa batas. Manfaatkan ia secara betul untuk membangunkan ummah,” titah baginda.
Sultan Sallehuddin bertitah, Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) kini berada di landasan baharu apabila berjaya mengintegrasikan teknologi AI dalam sistem operasi mereka untuk meningkatkan keupayaan membuat keputusan, ketelusan serta membina keyakinan masyarakat.
“Beta kagum dengan visi LZNK melaksanakan Ekosistem Zakat berasaskan AI. Melalui sistem ini, setiap sen zakat boleh dijejaki dan setiap bentuk kebajikan dapat dikaitkan secara langsung dengan kesannya,” titah baginda.
Baginda turut bangga apabila LZNK kini telah menjadi rujukan peringkat antarabangsa.
“Pada mulanya zakat hanya dilihat sebagai tanggungjawab tempatan. Jika dahulu rekod transaksi dicatat secara tulisan tangan, kini ia diuruskan melalui sistem digital.
“Jika dahulu hanya diiktiraf sebagai institusi yang mengagihkan makanan kepada golongan memerlukan, kini LZNK memainkan peranan penting dalam melaksanakan program ekonomi mampan untuk rakyat Kedah,” titah baginda.
Sultan Kedah berharap hasil persidangan tersebut membawa kepada jalinan kerjasama lebih erat dalam kalangan peserta, sekali gus menyuburkan ummah untuk generasi akan datang.