'Bincang dengan Mara jika ada masalah bayar balik pinjaman, jangan senyap terus' - Asyraf Wajdi

Iklan
Asyraf Wajdi

SHAH ALAM - Individu yang berdepan masalah membayar balik pinjaman Majlis Amanah Rakyat (Mara) dinasihatkan untuk berbincang dengan pihak berkenaan terlebih dahulu.

Pengerusinya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berulang kali menegaskan bahawa hutang wajib dibayar supaya bantuan boleh diberi kepada lebih ramai lagi pelajar.

Iklan
Iklan

"Kalau ada masalah nak bayar balik pinjaman datanglah berbincang dengan Mara. Jangan senyap terus, bila datang surat mahkamah baru gelabah nak berunding.

"Dengan bayaran balik pinjaman RM200,000, Mara boleh tanggung 20 pelajar miskin di Kolej Profesional Mara atau Kolej Kemahiran Tinggi Mara. Sebab itulah saya amat tegas memastikan setiap hutang mesti dibayar balik.

Iklan

"Antara polisi baharu yang diperkenalkan adalah Mara mula memperketatkan disiplin kewangannya termasuklah mengeluarkan notis jika bayaran balik hutang tertangguh selama tiga bulan," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.

Sebelum ini, Mara dilapor merekodkan perkembangan positif apabila semakin ramai peminjam melunaskan pinjaman pendidikan masing-masing, sekali gus membuka lebih banyak peluang kepada anak Melayu dan bumiputera menikmati kemudahan pembiayaan.

Iklan

Asyraf Wajdi memaklumkan, peningkatan kadar bayaran balik itu hasil usaha memperkemaskan tadbir urus dan prosedur kewangan yang digerakkan sejak lebih setahun lalu.

Jelas beliau, inisiatif tersebut antara transformasi Mara yang membudayakan disiplin kewangan dalam kalangan peminjam dan institusi.