Tak mahu ke sekolah sebab kasut kena tahi kucing, pelajar reka cerita diculik

Iklan
Gambar hiasan

SHAH ALAM – Gara-gara tidak mahu ke sekolah selepas kasut terkena najis kucing, seorang pelajar lelaki sanggup mereka cerita kononnya diculik sebelum membuat laporan palsu itu pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 9.22 pagi.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, pelajar berusia 13 tahun itu mendakwa diculik ketika berjalan kaki ke sekolah sebelum memaklumkan perkara tersebut kepada bapanya berusia 37 tahun.

"Pelajar berkenaan bersama bapanya kemudian hadir ke Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam untuk memberi keterangan berkenaan kes cubaan culik itu.

Iklan

"Bagaimanapun soal siasat dijalankan mendapati laporan yang dibuat mangsa tidak benar sama sekali," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Katanya, pelajar terbabit mengaku laporan polis itu dibuat hanya sebagai alasan kerana enggan ke sekolah.

Iklan

"Pelajar itu mengaku tindakan itu dilakukan bertujuan sebagai alasan untuk diberikan kepada bapa mangsa berikutan dia tidak mahu ke sekolah akibat kasut sekolahnya terkena najis kucing.

"Siasatan terhadap pelajar berkenaan tidak diteruskan memandangkan dia masih bersekolah, namun amaran keras telah diberikan kepada pelajar serta bapanya," katanya.

Menurutnya, bapa pelajar tersebut juga menarik balik laporan polis selepas dimaklumkan mengenai kejadian sebenar.

"Orang ramai diingatkan supaya tidak membuat laporan palsu kerana ia merupakan kesalahan serius.

"Jika sabit kesalahan, ia boleh disiasat di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali," katanya.