MELAKA - [DIKEMAS KINI] Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mengesan sekiranya terdapat elemen bersifat 'penunggang politik' ketika insiden tegang yang berlaku semasa operasi pengusiran di Kampung Sungai Baru, Kampung Baru di sini pada Khamis.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ini kerana dipercayai terdapat pihak yang kelihatan seolah-olah membela peserta perhimpunan tetapi pada masa sama menghasut, menyebar maklumat palsu dan menabur tohmahan.
"Sepintas lalu mereka dilihat membela, tetapi sebenarnya tampil dengan menghasut, sepintas lalu mereka dilihat membela tapi pada masa sama menyebarkan maklumat palsu.
"Mereka mahu dilihat sebagai membela tetapi menimbulkan tomahan, menganjurkan keganasan dan juga menyemarakkan kebencian," katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Pengerusi Mesyuarat Menteri -Menteri ASEAN Mengenai Jenayah Rentas Sempadan (AMMTC) di Banda Hilir di sini, pada Khamis.
Dalam pada itu beliau mengutuk sekeras-kerasnya tindakan segelintir individu yang mencederakan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy selepas dilontar batu dalam insiden operasi berkenaan.
Tegas beliau, kerajaan Madani kekal konsisten menghormati hak rakyat untuk berhimpun secara aman seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, namun kebebasan itu tidak boleh disalah guna sehingga menyalahi undang-undang.
Ujar beliau, rekod sejak tiga tahun lalu menunjukkan hampir 98 peratus daripada notis pemberitahuan perhimpunan yang diterima pihak polis telah difasilitasi.
"Ini bukti kita menghormati kebebasan rakyat.
"Tetapi, mencederakan penjawat awam adalah satu kesalahan undang-undang,” katanya lagi.
Terdahulu, media melaporkan Sulizmie Affendy cedera ketika melaksanakan pemantauan kawalan operasi pengosongan Kampung Sungai Baru pada Khamis.
Sulizmie dilihat mengalami luka berdarah di bahagian muka ketika cuba suraikan penduduk yang mendesak masuk ke kawasan operasi pengosongan di beberapa rumah di kampung berkenaan.