KUALA LUMPUR - Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengadakan perbincangan bagi memperkukuh hala tuju Kuala Lumpur sebagai bandar pintar, selamat, tahan tekanan krisis dan berpaksikan rakyat.
Menerusi hantaran di Facebook, Hannah berkata, perbincangan yang diadakan bersempena dengan kunjungan hormat Pengerusi MCMC, Tan Sri Mohamed Salim Fateh Din ke pejabatnya itu hari ini, antara lain menyentuh tentang peranan teknologi 5G.
Hannah berkata dalam pertemuan berkenaan, beliau menegaskan kepentingan teknologi digital, khususnya rangkaian 5G sebagai tulang belakang kepada dasar awam meliputi aspek keselamatan, kesiapsiagaan bencana dan kesejahteraan rakyat.
Perbincangan katanya, turut menyentuh keperluan integrasi teknologi pintar bagi mempercepat tindak balas kecemasan, meningkatkan keselamatan jalan raya melalui kerjasama strategik bersama-sama Polis Diraja Malaysia (PDRM), perlindungan golongan warga emas serta memastikan kesinambungan komunikasi di terowong Transit Aliran Massa (MRT), Transit Aliran Ringan (LRT) dan lebuh raya.
"Bandar pintar bukan tentang siapa paling canggih. Bandar pintar ialah siapa paling bersedia melindungi rakyat ketika detik paling genting.
"Inilah komitmen Kuala Lumpur, iaitu memastikan teknologi bukan sekadar memudahkan kehidupan harian, tetapi menjadi perisai keselamatan warga pada saat paling kritikal,” katanya. - Bernama