KUALA LUMPUR - Suara dan pandangan mahasiswa berhubung isu Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) tidak akan diketepikan atau ‘disapu di bawah karpet’ tanpa sebarang tindakan susulan.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abd Halim berkata, pihaknya memberi jaminan bahawa mahasiswa tidak perlu berasa takut atau bimbang untuk menyuarakan pandangan, kritikan mahupun penentangan terhadap isu berkaitan pendidikan tinggi, termasuk AUKU.
“Semua pandangan itu kami terima sebagai tanggungjawab bersama, sama ada di peringkat kementerian mahupun sebagai tanggungjawab moral kepada semua pihak yang hadir hari ini.
“Kami memberi jaminan bahawa langkah sewajarnya akan diambil, khususnya dalam memastikan keperluan dan tuntutan mahasiswa yang disuarakan melalui pelbagai saluran seperti protes, penulisan, kritikan serta kerja-kerja advokasi yang dijalankan secara bebas dan berdikari tidak diketepikan.
“Perkara ini tidak akan disapu di bawah karpet atau sekadar dijawab dengan projek tanpa sebarang maklum balas yang jelas,” katanya selepas menerima memorandum daripada wakil kumpulan mahasiswa di hadapan bangunan Parlimen pada Isnin.
Sebelum ini, sekumpulan pelajar mula berarak dari Taman Tugu ke hadapan bangunan Parlimen bagi menuntut pemansuhan AUKU pada Isnin.
Perarakan demonstrasi yang bermula pada jam 9.30 pagi itu melibatkan lebih 30 kumpulan pelajar, termasuk Persatuan Anak Muda Universiti Malaya (UMANY), Himpunan Advokasi Rakyat Malaysia dan Liga Mahasiswa Universiti Malaya (LMUM).
Ujar Adam Adli, pihak kementerian menghormati setiap pandangan dan tuntutan yang dikemukakan serta akan memberi tumpuan sepenuhnya bagi memastikan isu berkenaan ditangani dengan sewajarnya.
“Walaupun ayat dan komitmen yang diberikan hari ini mungkin dirasakan belum mencukupi, kami memberi jaminan bahawa akan ada perkembangan yang diperlukan ke arah tindakan yang lebih besar.
“Perkara ini pernah dilakukan sebelum ini dan kami percaya perubahan boleh dicapai sama ada melalui meja rundingan, pentas desakan, jalanan mahupun dalam ruang universiti,” katanya.