Pelbagai bangsa berganding jayakan KAMI

Iklan
Azizul (empat dari kiri) bersama pelbagai persatuan yang mewakili masyarakat berbilang bangsa terlibat menjayakan KAMI 2025 Sabtu ini di pusat beli-belah Mydin Meru Raya.

IPOH - Karnival Kita Anak Malaysia (KAMI) 2025 bakal menyerlahkan semangat perpaduan apabila dijayakan bersama pelbagai persatuan yang mewakili masyarakat berbilang bangsa, Sabtu ini di pusat beli-belah Mydin Meru Raya, di sini.

Program anjuran Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) dengan sokongan Kementerian Perpaduan Negara dan Pusat Khidmat Parlimen Tambun itu menampilkan penglibatan pertubuhan utama masyarakat Cina, India dan Orang Asli selain kerjasama agensi kerajaan serta swasta pelbagai latar belakang.

Iklan
Iklan

Pengarah KAMI 2025, Dr Azizul Salehudin berkata, inisiatif itu bertujuan menghimpunkan rakyat Malaysia daripada pelbagai kaum dan agama dalam suasana harmoni bersempena Sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia.

"Berbeza dengan penganjuran sebelum ini, KAMI kali ini mempromosikan gaya hidup sihat yang positif dan berintegrasi melalui aktiviti riadah, seni dan budaya.

Iklan

"Kita mahu masyarakat khususnya generasi muda benar-benar menghayati semangat Kita Anak Malaysia, menzahirkan rasa cinta terhadap tanah air, menghargai kepelbagaian budaya dan menolak unsur perpecahan," katanya dalam sidang akhbar di sini pada Khamis.

Ketua Ikram Muda Perak itu berkata, lebih 62 aktiviti menarik disediakan meliputi sukan, seni budaya, persembahan pentas, pameran serta program kesihatan dengan sasaran kehadiran 5,000 pengunjung dari sekitar Ipoh dan kawasan berdekatan.

Iklan

"Antara tarikan utama ialah Larian Santai Anak Malaysia yang mewajibkan peserta berpakaian tradisional, persembahan silat, Gendang 24 Musim, tarian kolattam, orkestra Cina serta persembahan khas artis kanak-kanak Orang Asli, Amir Sisi," katanya.

Sementara itu, Presiden Dewan Perhimpunan Cina Perak (DPCP), Datuk Kwan Foh Kwai menyifatkan penyertaan pihaknya dalam KAMI 2025 sebagai usaha penting menyatukan masyarakat berbilang kaum.

Beliau berkata, sejak penubuhan DPCP pada tahun 1927, tujuan asalnya adalah untuk menyatukan komuniti Cina, namun kini pihaknya mahu melangkah lebih jauh dengan bersama kaum Melayu, India dan Orang Asli demi perpaduan negara.

"Malaysia sebuah negara unik dengan kepelbagaian budaya dan cara hidup, namun interaksi antara kaum dilihat semakin berkurangan, khususnya dalam kalangan generasi muda yang kurang mengenali budaya lain.

"Sebagai salah satu pertubuhan utama masyarakat Cina, DPCP percaya menjadi tanggungjawab untuk memimpin komuniti ke arah kerjasama lebih erat dengan kaum lain agar perpaduan negara terus kukuh," katanya.

Pengerusi Malaysia Hindu Sangam Perak, P Santhiran menegaskan penganjuran kali pertama yang melibatkan pihaknya amat bermakna kerana memberi ruang menonjolkan budaya India kepada masyarakat umum.

"Program seperti ini wajar diteruskan untuk memastikan semangat perpaduan terus segar," ujarnya.

Karnival KAMI sebelum ini pernah diadakan di Selangor, Kuala Lumpur dan Johor, manakala penganjuran di Perak tahun ini menampilkan kelainan dengan lokasinya di pusat beli-belah supaya lebih mudah diakses seisi keluarga.