Pengarah stesen minyak didenda RM30,000, jual diesel lebih had

Iklan
Dua beradik selaku pengarah sebuah stesen minyak masing-masing didenda RM15,000 oleh Mahkamah Sesyen Ipoh pada Khamis.

IPOH - Dua beradik yang juga pengarah sebuah stesen minyak masing-masing didenda RM15,000 oleh Mahkamah Sesyen Ipoh selepas mengaku bersalah menjual diesel melebihi had ditetapkan kepada sebuah lori yang telah diubah suai, dua tahun lalu.

Hakim Ainul Shahrin Mohamad menjatuhkan hukuman itu terhadap Wong Kee Sooi, 62, dan abangnya, Wong Kee Seung, 71, selepas mereka mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan bersama pada Khamis.

Iklan
Iklan

Mengikut pertuduhan, syarikat Petrol Botani Sdn Bhd yang diwakili kedua-dua pengarah terbabit didapati menjual sebanyak 2,558.16 liter diesel kepada seorang lelaki di stesen minyak BHPetrol Bandar Seri Botani dalam daerah Kinta, kira-kira jam 10.45 malam pada 5 Oktober 2023.

Minyak berkenaan diisi ke dalam lori yang telah diubah suai, yang mana ia melanggar arahan Pengawal Bekalan bertarikh 17 Jun 2022 yang hanya membenarkan penjualan maksimum 250 liter diesel sehari ke dalam tangki asal kenderaan.

Iklan

Bagi kesalahan itu, kedua-dua mereka didakwa di bawah Peraturan 21(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 22(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM1 juta atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Perak, N Shamani memohon hukuman setimpal dikenakan atas faktor kepentingan awam serta sebagai peringatan jelas kepada semua pemegang lesen barang kawalan runcit.

Iklan

Peguam Khong Jia Luo yang mewakili kedua-dua tertuduh merayu agar mahkamah mengambil kira sikap anak guamnya yang membuat pengakuan bersalah sejak awal, selain telah mengemukakan representasi kepada pihak pendakwaan untuk bersetuju membayar denda.

“Mohon mahkamah pertimbangkan sikap bertanggungjawab mereka. Dalam kes ini, mereka tidak mengenali individu yang mengubah suai tangki lori terbabit,” katanya.

Mahkamah kemudiannya menjatuhkan hukuman denda RM15,000 ke atas setiap seorang atau enam bulan penjara sekiranya gagal membayar.

Kedua-duanya telah menjelaskan denda berkenaan.