ISKANDAR PUTERI – Seramai 62 Ketua Isi Rumah (KIR) yang terjejas akibat kejadian gempa bumi di Segamat akan terima bantuan sebanyak RM3,000 bagi meringankan beban yang ditanggung.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, Johor dikejutkan dengan dengan beberapa siri gempa bumi lemah yang berlaku di Segamat dan Batu Pahat bermula pada 24 Ogos.
"Mengikut laporan yang diterima, gegaran pertama direkodkan pada 4.1 magnitud dan disusuli tujuh tujuh gegaran susulan antara 27 Ogosdirekodkan sehingga 3 September.
"Berdasarkan laporan Jabatan Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Segamat, sebanyak 62 rumah, dua surau, dan sembilan premis kerajaan dilaporkan mengalami kerosakan kecil.
"Namun penilaian dilakukan mengesahkan semua bangunan ini masih selamat untuk digunakan.
"Kerajaan Negeri dengan sokongan Kerajaan Persekutuan melalui NADMA, bersetuju menyalurkan bantuan kepada 62 Ketua Isi Rumah yang terlibat dan telah membuat laporan polis, dengan kadar maksimum RM3,000 bagi setiap keluarga," katanya.
Beliau berkata demikian pada Mesyuarat Kedua bagi Penggal Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-15 di Dewan Persidangan Bangunan Temenggong Ibrahim, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri, Iskandar Puteri pada Khamis.
Onn Hafiz yang juga ADUN Machap berkata, walaupun Johor bukan negeri berisiko tinggi, tetap berhadapan dengan cabaran geologi yang wajar diurus secara strategik dan bersepadu.
"Kerajaan negeri tidak pernah berpeluk tubuh dalam menghadapi insiden ini. Justeru, kerajaan negeri melalui JPBD telah melaksanakan intervensi secara berfasa yang merangkumi langkah jangka pendek, sederhana dan panjang.
"Antaranya mengaktifkan bilik gerakan bencana yang beroperasi 24 jam disertai Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat, Polis Diraja Malaysi, pihak berkuasa tempatan serta kerjasama agensi teknikal lain.
"Seterusnya menaik taraf enam stesen seismologi sedia ada di negeri ini selain mengemas kini pemetaan risiko seismik secara berterusan.
"Ini termasuk dengan cerapan pergerakan sesar dan integrasi teknologi moden termasuk kecerdasan buatan (AI)," ujarnya.