Cubaan seludup minyak sawit bernilai lebih RM1.1 juta tumpas

Iklan
Pasukan operasi mula mengesan sebuah lori yang membawa muatan mencurigakan sekitar jam 8.30 malam sebelum mengekori kenderaan itu hingga ke kawasan R&R Bukit Merah pada Selasa.

BAGAN SERAI - Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Utara berjaya menggagalkan cubaan empat lelaki menyeludup minyak sawit mentah bernilai lebih RM1.1 juta menerusi Op Taring Palma di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Bukit Merah di sini pada Selasa.

Komander Briged Utara PGA, Senior Asisten Komisioner Shahrum Hashim berkata, operasi khas itu dijalankan dengan kerjasama Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) Wilayah Utara, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian dan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pasukan operasi mula mengesan sebuah lori yang membawa muatan mencurigakan sekitar jam 8.30 malam sebelum mengekori kenderaan itu hingga ke kawasan R&R berkenaan.

"Pemeriksaan mendapati suspek sedang melakukan pemindahan minyak sawit mentah secara tidak sah dari dua lori tanker ke sebuah lori bonded.

Iklan

"Turut ditemui 15 tong biru berkapasiti 200 liter serta pelbagai peralatan digunakan untuk kegiatan itu," katanya dalam kenyataan media di sini pada Khamis.

Shahrum berkata, kesemua empat lelaki tempatan berusia antara 26 hingga 44 tahun telah ditahan bagi membantu siasatan.

Iklan

Pihaknya turut merampas minyak sawit mentah seberat 85,580 kilogram, tiga lori termasuk dua jenis tanker dan sebuah bonded selain empat telefon bimbit pelbagai jenama.

"Jumlah keseluruhan nilai rampasan dianggarkan RM1,114,084," jelasnya.

Beliau berkata, JSPT Bukit Aman turut mengeluarkan satu saman terhadap suspek atas kesalahan trafik di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Kes diserahkan kepada MPOB Wilayah Utara dan disiasat mengikut Peraturan 5 Peraturan-Peraturan MPOB (Pelesenan) 2005," katanya.

Tambah beliau, kejayaan itu membuktikan komitmen PGA Briged Utara dalam membanteras penyelewengan komoditi negara yang boleh menjejaskan industri minyak sawit.

“Operasi seumpama ini akan diteruskan dari semasa ke semasa dan kita meminta masyarakat supaya menjadi mata serta telinga pihak berkuasa dengan menyalurkan maklumat mengenai aktiviti yang menyalahi undang-undang," katanya.