Polis siasat kanak-kanak kembar didakwa tidur luar rumah, mata ditutup ketika makan

Iklan
Hantaran di Facebook dipercayai oleh ibu kandung kedua-dua kanak-kanak berkenaan.

BALIK PULAU – Polis menjalankan siasatan berhubung dakwaan pengabaian membabitkan pasangan kembar lelaki berusia lapan tahun di Pangsapuri Idaman Prestij KPark di sini selepas beberapa gambar dan hantaran mengenai kejadian itu tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, pihaknya menerima maklumat daripada seorang anggota polis yang terlihat hantaran di laman Facebook milik seorang wanita menggunakan nama akaun 'Wana Talia' pada 9 September lalu.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Sazalee Adam

“Kanak-kanak terbabit merupakan pasangan kembar berusia lapan tahun.

Iklan

"Mereka didakwa dipaksa tidur di luar rumah serta menutup mata ketika makan,” katanya ketika dihubungi.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa dijaga oleh ibu tiri mereka berusia 39 tahun.

Iklan

“Hasil rakaman percakapan kanak-kanak berkenaan mendapati mereka tidur di luar rumah kerana dimarahi selepas bermain api dengan membakar kertas di dalam rumah.

“Bagi insiden mata ditutup semasa makan pula, mangsa memaklumkan ia dilakukan kerana mereka enggan makan sayur.

"Kedua-duanya turut mengesahkan tidak pernah didera secara fizikal oleh ibu tiri mereka,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Sazalee berkata, siasatan juga mendapati ibu kandung kepada kanak-kanak terbabit yang merupakan pemilik akaun Facebook 'Wana Talia' telah membuat laporan polis berhubung kejadian sama di Balai Polis Bayan Baru.

“Wanita itu mendakwa melihat hantaran di Facebook ibu tiri mangsa yang memaparkan anaknya dalam keadaan mata ditutup kain ketika makan, selain menerima gambar daripada rakannya yang menunjukkan kedua-dua mangsa tidur di luar rumah,” katanya.

Beliau berkata, kedua-dua kanak-kanak telah dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk pemeriksaan lanjut.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana mengabaikan kanak-kanak.

“Setakat ini tiada sebarang tangkapan dibuat dan siasatan masih dijalankan,” katanya.

Terdahulu, tular di media sosial mengenai dua beradik kembar berusia lapan tahun menjadi mangsa dera apabila didakwa dipaksa tidur di kaki lima flat oleh ibu tiri mereka, mencetuskan kemarahan dan kesedihan ibu kandung kanak-kanak itu.

Menurut perkongsian di Facebook ibu mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Wana, dia tidak menyangka anak-anak yang dijaga bekas suami bersama isteri baharunya berdepan nasib malang sehingga tidak diberi makan dan tempat tinggal sewajarnya.