PUTRAJAYA - Kerajaan Malaysia dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Komersial (CAD) Singapura berjaya memulihkan aset bernilai AS$8.57 juta (RM39.1 juta) melibatkan ahli perniagaan, Low Taek Jho atau Jho Low dan ahli keluarganya ke Akaun Amanah Pemulihan Aset 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kenyataan berkata, pemulihan aset ini merupakan hasil usaha penyelesaian global pelucuthakan sivil ke atas Jho Low yang dilaksanakan oleh Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat.
Menurutnya, selain itu, akaun-akaun lain milik ahli keluarga Jho Low juga dijadualkan untuk dipulangkan dalam masa terdekat.
"Pemulangan terbaru ini serta penyelesaian sebanyak AS$330 juta (RM1.4 bilion) dengan JPMorgan Chase & Co baru-baru ini, menjadikan jumlah keseluruhan aset yang berjaya dikembalikan kepada Malaysia daripada kes 1MDB kini mencecah RM31.19 bilion.
"Pada 26 Jun 2024, DOJ Amerika Syarikat telah mengumumkan penyelesaian global pelucuthakan sivil ke atas Jho Low yang membawa kepada pemulihan aset melebihi AS$100 juta," katanya pada Rabu.
Tambah kenyataan itu, secara keseluruhan, pihak berkuasa Amerika Syarikat telah memperoleh lebih AS$1.5 bilion berkaitan Jho Low, sebahagian besarnya dikembalikan kepada Malaysia.
Ujar SPRM, kejayaan pemulihan ini mencerminkan usaha berterusan Kerajaan Malaysia melalui Pasukan Petugas Khas Pelbagai Agensi (Multi-Agency Task Force) yang diketuai SPRM dengan kerjasama Jabatan Peguam Negara, Bank Negara Malaysia (BNM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC).
"Usaha ini turut diperkukuh dengan kerjasama erat pihak berkuasa antarabangsa, khususnya dari United Kingdom, Amerika Syarikat, Switzerland, Singapura dan Perancis di bawah kerangka perjanjian Bantuan Perundangan Bersama (MLA).
"Kes 1MDB adalah antara jenayah kewangan terbesar dunia," ujarnya.
Jelasnya, Kerajaan Malaysia menegaskan komitmen untuk membawa pulang wang dan aset yang telah diselewengkan serta memastikan semua individu dan institusi yang terlibat dipertanggungjawabkan.