Kelantan desak tindakan tegas terhadap pelaku lombong emas haram

Iklan
Laporan Sinar Harian pada 8 September lalu. Foto kecil: Mohamed Fadzli FOTO SINAR HARIAN - ADILA SHARINNI WAHID

KOTA BHARU – Kerajaan Kelantan menuntut tindakan tegas dikenakan terhadap pihak yang terbabit dalam kegiatan perlombongan emas secara haram di Sungai Seting, Gua Musang.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, kegiatan tidak sah itu membabitkan kecurian harta kerajaan yang juga milik rakyat, justeru menuntut siasatan terperinci.

Iklan
Iklan

Menurut Mohamed Fadzli, setakat ini pihaknya menerima dua aduan berkaitan perlombongan emas secara haram di negeri berkenaan.

“Dalam hal ini, saya minta supaya penguatkuasaan sama ada di pihak kerajaan negeri atau pusat mengambil serius kerana kami mahu kegiatan dibendung dari awal.

Iklan

“Ini khazanah negeri milik rakyat, jadi kerajaan sangat memandang serius,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Exco di Kota Darulnaim, di sini pada Rabu.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas penahanan tiga warga asing iaitu dua rakyat Myanmar dan seorang rakyat Indonesia yang dipercayai menjalankan perlombongan emas tanpa permit di ladang kelapa sawit di daerah itu pada Isnin.

Iklan

Mohamed Fadzli turut memuji tindakan pantas pihak berkuasa yang berjaya mematahkan kegiatan terbabit hasil risikan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) bersama agensi penguat kuasa lain.

Selain perlombongan emas, katanya, kerajaan negeri juga menerima beberapa laporan tidak rasmi berhubung kecurian kayu di kawasan Kuala Krai.

“Ada laporan yang disampaikan secara lisan mendakwa terdapat aktiviti mencuri kayu di kawasan Kuala Krai.

“Tetapi kita belum dapat pastikan sejauh mana kesahihan dan sedang disiasat,” jelasnya.

Beliau turut meminta rakyat Kelantan supaya membantu kerajaan negeri dengan menyalurkan maklumat lengkap sekiranya mengesan sebarang kegiatan mencurigakan termasuk lombong haram atau kecurian hasil hutan bagi membolehkan siasatan dibuat oleh PTG dan Jabatan Perhutanan.