SAM kesal pokok tualang 120 tahun ditebang demi projek LTU

Iklan
SAM menyuarakan kekesalan apabila sebatang pokok tualang berusia lebih 120 tahun berhampiran Kampung Sungai Bayu, Gua Musang ditebang bagi memberi laluan kepada pembinaan projek LTU pada Khamis lalu.

KOTA BHARU - Sahabat Alam Malaysia (SAM) menyuarakan kekesalan apabila sebatang pokok tualang berusia lebih 120 tahun berhampiran Kampung Sungai Bayu, Gua Musang ditebang bagi memberi laluan kepada pembinaan projek Lebuh raya Lingkaran Tengah Utama (LTU) pada Khamis lalu.

Pegawai Lapangan SAM, Meor Razak Meor Abdul Rahman berkata, pokok berkenaan adalah salah satu jenis tanaman yang bernilai tinggi dari segi sosio ekonomi, ekologi, perubatan serta menjadi lambang kekayaan biodiversiti tempatan.

Iklan
Iklan

"Oleh kerana kurangnya 'kefahaman' dan 'kesedaran' semasa merancang pembinaan lebuh raya tersebut, aspek pengekalan spesies pokok berkepentingan khususnya dan eko sistem sensitif umumnya tidak dititik beratkan.

"Ia bagai tiada kesepakatan diantara agensi pembangunan infrastuktur dengan agensi pemuliharaan biodiversiti," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Iklan

Meor Razak berkata, sepatutnya semasa perancangan pembinaan lebuh raya tersebut mungkin boleh diubah sedikit jajarannya bagi mengekalkan dirian pokok tualang terbabit.

Ujarnya, keunikan pokok tualang yang terdapat berhampiran Kampung Sungai Bayu itu adalah kerana tumbuh secara semula jadi di luar kawasan perlindungan terutama di luar Hutan Simpanan Kekal (HSK).

Iklan

Tambah beliau, ketika ini agak sukar untuk menemui pokok tualang yang tumbuh secara semula jadi di luar kawasan perlindungan terutama di luar HSK.

"Berdasarkan ketetapan Majlis Perhutanan Negara (MPN) ke-20 pada 2024, tualang merupakan salah satu spesies pokok perlindungan yang tidak boleh ditebang tetapi ketetapan tersebut hanya tertakluk kepada spesies-spesies pokok di dalam HSK sahaja.

"Persoalan juga timbul sama ada penebangan pokok tualang terbabit mematuhi Seksyen 35A, Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172) berkaitan Perintah Pemeliharaan Pokok," katanya.

Ujar beliau, sudah sampai ketikanya pihak berkuasa perlu menambah baik dasar dan peruntukan undang-undang sedia ada supaya spesies-spesies pokok dan tumbuhan tertentu yang mempunyai nilai biodiversiti dan endemik yang tumbuh secara semula jadi di luar kawasan perlindungan di lindungi dan dipulihara.

Sinar Harian sebelum itu melaporkan sudah empat kali cubaan tebang pokok tualang dilakukan namun gagal, malah setiap kali berbuat demikian mereka yang terlibat akan demam lebih seminggu.

Demikian cerita Pengurusan Trafik kepada projek jalan Lingkaran Tengah Utama (LTU) Pakej 2A, Zillullah Zakaria, 30, memaklumkan mereka turut mengadakan solat hajat serta bacaan al-Quran sebelum memulakan kerja-kerja menebang pokok setinggi 60 meter dan berusia 120 tahun yang terletak di Kampung Sungai Bayu di sini.

Menurutnya, selepas berbuat demikian semua urusan menebang pokok yang didakwa 'kebal' serta mempunyai pelbagai kisah mistik itu berjalan lancar sehingga ia berjaya ditumbangkan dengan sempurna.