Misi flotilla terbaharu simbol solidariti dunia untuk Gaza

Iklan
Kapal Family Boat (kanan), sebahagian daripada Global Sumud Flotilla, berlabuh di Sidi Bou Said, Tunisia pada 9 September 2025 selepas didakwa terkena serangan dron. Foto AFP

MISI flotilla terbaharu yang berlayar dari Barcelona bermula 31 Ogos lalu muncul sebagai usaha paling besar dalam sejarah, dengan hampir 20 kapal membawa aktivis dari 44 negara untuk menamatkan sekatan laut Israel terhadap Gaza

Insiden serangan dron ke atas kapal ‘Family Boat’ di pelabuhan Sidi Bou Said, Tunisia pada 9 September (semalam) jelas menunjukkan ancaman yang sedang dihadapi.

Iklan
Iklan

Walaupun tiada korban jiwa dilaporkan, kejadian itu mengingatkan dunia bahawa usaha kemanusiaan ini sentiasa dipandang sebagai ancaman oleh pihak tertentu.

Flotilla kali ini dinamakan Global Sumud Flotilla (GSF), menghimpunkan tokoh terkenal antarabangsa seperti aktivis alam sekitar, Greta Thunberg dan bekas Datuk Bandar Barcelona, Ada Colau, sekali gus menarik sorotan media global yang lebih luas.

Iklan

Mesej utama misi ini adalah solidariti, bukan sekadar bantuan fizikal. Walaupun jumlah barangan yang dibawa termasuk makanan dan ubat-ubatan tidak sebanding dengan keperluan 2.3 juta rakyat Gaza, ia tetap menjadi simbol penentangan terhadap pengepungan yang berlarutan sejak 2007.

Sejarah membuktikan hampir semua flotilla terdahulu berakhir dengan intersepsi.

Iklan

Kapal Madleen yang ditahan Jun lalu dan Handala pada Julai adalah bukti nyata bahawa Israel tidak pernah membiarkan konvoi sampai ke Gaza.

Namun, kegagalan fizikal itu tidak menghalang kejayaan moral yang dibawa setiap kali layar dinaikkan.

Bagi penganjur, usaha ini adalah satu bentuk tindakan aman yang selaras dengan undang-undang maritim antarabangsa. Mereka menegaskan bahawa Gaza berhak menerima bantuan tanpa syarat, sama seperti wilayah lain di dunia.

Sebaliknya, Israel melihat misi ini sebagai provokasi politik. Tel Aviv mendakwa flotilla adalah alat propaganda, sambil menegaskan sebarang bantuan mesti melalui saluran rasmi mereka.

Justeru, flotilla menjadi titik pertembungan antara alasan keselamatan Israel dan tuntutan hak asasi kemanusiaan global.

Objektif utama flotilla sejak awal penubuhannya adalah jelas untuk menamatkan sekatan laut Israel terhadap Gaza.

Sekatan yang dikenakan sejak 2007 bukan sahaja menghalang pergerakan manusia, malah mengekang kemasukan makanan, ubat-ubatan, bahan bakar dan barangan asas lain.

Dengan menghantar kapal terus ke Gaza tanpa melalui kawalan Israel, flotilla mahu membuktikan bahawa blokade ini adalah tidak sah dari sudut undang-undang antarabangsa dan bercanggah dengan prinsip kemanusiaan.

Walaupun bantuan yang dibawa sering kali dalam jumlah kecil, keberanian untuk mencabar sekatan itu telah menjadikan flotilla simbol moral dan diplomatik yang besar.

Setiap kali kapal dihalang atau ditahan, ia sekaligus membuka mata dunia terhadap realiti blokade yang menekan 2.3 juta penduduk Gaza.

Insiden serangan dron terhadap kapal Conscience di perairan Malta Mei lalu, yang hampir menenggelamkan kapal itu, serta penahanan aktivis termasuk ikon generasi muda, Greta Thunberg dalam misi Madleen, memperlihatkan bahawa risiko terhadap aktivis awam semakin besar.

Walau begitu, penyertaan ratusan aktivis dari pelbagai bangsa, termasuk ahli politik, artis dan agamawan, membuktikan suara solidariti semakin kuat. Mereka bukan sahaja membawa bantuan, tetapi hadir untuk menjadi saksi kepada sejarah penderitaan Palestin.

Liputan media antarabangsa yang meluas memberi tekanan diplomatik kepada Israel. Kehadiran Greta Thunberg khususnya menjadikan flotilla mendapat perhatian generasi muda di seluruh dunia, termasuk di Malaysia yang turut menzahirkan sokongan melalui NGO dan kutipan dana kemanusiaan.

Bagi rakyat Palestin, flotilla adalah sinar harapan. Walaupun bantuan sering kali tidak sampai ke Gaza, usaha ini menegaskan bahawa dunia tidak menutup mata.

Setiap layar yang berkembang menjadi tanda ada pihak yang berani menentang penindasan walau dengan risiko nyawa.

Malaysia antara negara yang konsisten menyokong perjuangan ini di forum antarabangsa, termasuk melalui ucapan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di PBB yang menegaskan perlunya sekatan Gaza ditamatkan. Sokongan terhadap flotilla selari dengan pendirian itu.

Malah, badan bukan kerajaan (NGO) di Malaysia seperti Aman Palestin, MAPIM dan MyCARE turut mengadakan kempen solidariti, sekali gus memperkukuh peranan rakyat Malaysia dalam menyokong usaha flotilla dari jauh.

Dari perspektif diplomasi antarabangsa, misi ini menimbulkan persoalan besar mengenai hak kebebasan pelayaran.

Adakah sebuah negara berhak menguasai perairan antarabangsa semata-mata atas alasan keselamatan? Atau wujud prinsip kemanusiaan yang lebih tinggi yang perlu dipertahankan?

Jawapannya bukan mudah. Israel tetap berpegang kepada doktrin keselamatan, manakala aktivis flotilla menuntut undang-undang maritim digunakan untuk melindungi rakyat awam yang ingin menyalurkan bantuan kemanusiaan.

Situasi ini juga membuka ruang kepada masyarakat antarabangsa untuk menilai semula peranan badan dunia seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Tanpa intervensi yang lebih tegas, flotilla akan terus menjadi ‘perjuangan tanpa kesudahan’ setiap kali Gaza dibelenggu peperangan dan sekatan.

Namun, dalam setiap cabaran, flotilla membawa mesej moral yang tidak boleh dipadamkan. Ia mengingatkan dunia bahawa walaupun bantuan tidak sampai, solidariti sejagat tetap hidup dan semakin kuat bergema.

Akhirnya, misi flotilla terbaharu ini bukan sekadar perjalanan kapal ke Gaza.

Ia adalah simbol maruah kemanusiaan, tanda bahawa rakyat dunia tidak rela melihat penindasan berlarutan, dan isyarat bahawa perjuangan untuk membebaskan Palestin akan terus disuarakan tanpa henti.