SHAH ALAM - Situasi di Nepal dilaporkan masih genting susulan rusuhan berterusan sehingga memaksa penutupan Lapangan Terbang Antarabangsa Tribhuvan, Kathmandu.
Jawatankuasa Usaha Sementara, Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu, Nepal, Mohd Firdaus Azman berkata, keadaan itu berlaku ekoran kemusnahan yang dilakukan perusuh sehingga menyebabkan asap tebal di sekitar bandar berkenaan.
Menurutnya, situasi itu menjejaskan operasi penerbangan sekali gus menyebabkan penumpang termasuk rakyat Malaysia terkandas dan tidak dapat pulang ke destinasi masing-masing.
"Sekarang, protes makin berjalan sehingga menyebabkan kemusnahan dan asap tebal di sekitar kawasan Kathmandu. Jadi, lapangan terbang terpaksa ditutup kerana tidak selamat untuk pendaratan ataupun penerbangan kapal terbang.
"Jadi, rakyat Malaysia khususnya berada di Kathmandu dan sepatutnya pulang malam ini terkandas sementara waktu,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Terdahulu, Perdana Menteri Nepal, Khadga Prasad Shrama Oli dilaporkan meletak jawatan berikutan bantahan ganas yang merebak ke seluruh negara disebabkan larangan platform media sosial dan kemarahan rakyat terhadap kerajaan dicemari rasuah.
Beliau mengambil keputusan terbabit selepas 19 orang terbunuh dalam pertembungan ganas antara penunjuk perasaan dan polis.
Mohd Firdaus memberitahu, beberapa syarikat penerbangan antarabangsa termasuk Nepal Airlines dan Malaysia Airlines sedang berhubung dengan penumpang bagi menjadualkan semula penerbangan ke tarikh lain.
Beliau menambah, terdapat perintah berkurung kini berkuat kuasa di sekitar Kathmandu sekali gus mengehadkan pergerakan orang ramai termasuk warga Malaysia.
Justeru, beliau menasihatkan rakyat Malaysia yang berada di Nepal supaya kekal di premis atau hotel masing-masing sehingga arahan selanjutnya dikeluarkan pihak berkuasa.
“Bagi mereka yang merancang untuk ke Nepal dalam masa terdekat adalah lebih baik menangguhkan perjalanan sehingga keadaan kembali pulih,” ujarnya.
Dalam pada itu, kongsi beliau, Nepal ketika ini dalam keadaan tiada kepimpinan tertinggi selepas Perdana Menteri dan beberapa menteri kabinet meletakkan jawatan mereka.