KOTA KINABALU - Orang ramai khususnya di media sosial diingatkan agar tidak membuat sebarang kesimpulan melulu terhadap keterangan saksi yang dipanggil dalam prosiding inkues bagi merungkai kematian Zara Qairina Mahathir.
Mohd Syarulnizam Mohd Salleh, salah seorang peguam mewakili ibu Zara Qairina, menasihatkan supaya orang ramai tidak terus menilai sesuatu hanya dari luaran, sebaliknya perlu melihat keseluruhan konteks prosiding.
"Saya fikir kita sepasukan amat puas hati dengan perjalanan prosiding inkues. Yang penting perjalanan ini dijalankan dengan berhemah, dengan mendapatkan semua keterangan jujur daripada saksi-saksi yang ditampilkan oleh pegawai pengendali kita.
"Sekarang, kita masuk saksi kelima iaitu seorang inspektor (pegawai polis). Kita berharap mendapat lebih maklumat dengan soalan-soalan yang akan kita kemukakan kepada saksi seterusnya.
"Yang penting, saya fikir adalah untuk mendapat kerjasama daripada penonton atau pengikut di media agar tidak terus membuat keputusan terhadap saksi-saksi yang ditampilkan. Kita tidak seharusnya menilai sesuatu hanya pada luaran.
"Keterangan perlu dilihat berdasarkan konteks, kekuatan serta keterbatasan setiap saksi. Perlu difahami bahawa prosiding inkues ini ditetapkan berlangsung sepanjang bulan ini, dan mungkin juga akan bersambung pada tarikh lain bergantung kepada keperluan," katanya ketika ditemui di pekarangan Mahkamah Kota Kinabalu pada Selasa.
Sehubungan itu, Mohd Syarulnizam menegaskan bahawa semua pihak perlu berhati-hati dan tidak terburu-buru membuat kesimpulan.
"Jika perlu, kami akan membawa pemeriksa dan saksi bebas kami sendiri, tertakluk kepada kelulusan pegawai pengendali serta Mahkamah Koroner. Maka, seperti yang saya nyatakan sebelum ini, kita harus berhati-hati terhadap komen dan fakta khususnya yang melibatkan ibu serta bapa si mati.
"Kerana kita bukan bercakap tentang perkara andaian, tetapi kehilangan nyawa. Sebab itu kita perlu melihat semua fakta dan isu yang berkaitan. Perkara ini paling penting untuk dihormati," tegasnya.
Sementara itu, beliau turut memaklumkan bahawa pihak ibu Zara Qairina bersama sebuah badan bukan kerajaan (NGO), Persatuan Bayu Raudah Sabah, telah melancarkan tabung bagi membantu kos perjalanan prosiding inkues tersebut.
"Kita ambil kesempatan ini juga untuk mengumumkan bahawa bagi membantu perjalanan prosiding inkues ini, untuk kos-kos berkaitan, anak guam kami dengan kerjasama sebuah NGO telah melancarkan satu tabung.
"Ini untuk menampung kos terutama saksi-saksi pakar, kos perjalanan dan penginapan, selain memudahkan prosiding ini bagi pasukan peguam," katanya.
Bagaimanapun, Mohd Syarulnizam menegaskan tabung itu bukan bertujuan menampung kos guaman kerana mereka kekal dengan pendirian untuk melakukan tugas tersebut secara pro bono.
"Kami semua masih sama juga, pendirian kami adalah untuk melakukan tugas ini secara pro bono, tanpa bayaran.
"Jadi itu untuk mengelak sebarang keraguan. Pengurusan tabung ini adalah di bawah penyeliaan anak guam kami dan juga NGO tersebut. Jadi, apa-apa soalan berkaitan tabung boleh berhubung dengan mereka," jelasnya.
Sebelum itu, Mohd Syarulnizam turut hadir bersama pasukannya yang terdiri daripada Shahlan Jufri, Rizwandean M Borhan, Mohd Luqman Syazwan Zabidi dan Farrah Nasser, yang bertindak sebagai peguam kepada Noraidah Lamat, pihak berkepentingan dalam inkues yang berlangsung di Mahkamah Koroner Kota Kinabalu.