SHAH ALAM – Semua keputusan UPUOnline dijana oleh sistem berdasarkan pemarkahan merit yang ditetapkan mengikut kursus atau program yang dimohon sekali gus menolak dakwaan wujudnya kelompongan dalam sistem sedia ada.
Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) berkata, sistem UPUOnline menyaring setiap permohonan melalui pemarkahan merit masing-masing dari tertinggi hingga terendah sebelum penawaran dibuat.
Menurutnya, proses pemilihan dan penawaran bergantung kepada markah merit, pematuhan syarat am dan syarat khas program pengajian, perakuan temu duga atau ujian (jika berkenaan), kekosongan tempat serta keutamaan pilihan.
“JPT ingin mengucapkan tahniah kepada 78,863 calon lepasan matrikulasi, Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), asasi, Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), diploma atau setaraf yang berjaya ditawarkan tempat ke universiti awam bagi mengikuti program Ijazah Sarjana Muda.
“Kesemua calon ini adalah daripada 109,866 yang layak memohon melalui sistem UPUOnline yang dikendalikan oleh Bahagian Kemasukan Pelajar IPTA (BKPA), JPT.
“JPT komited memastikan akses kepada pendidikan tinggi adalah telus dan adil berasaskan prinsip meritokrasi iaitu melalui pencapaian akademik (90 peratus) dan pencapaian kokurikulum (10 peratus),” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Tambahnya, KPT memberi jaminan bahawa semua pelajar STPM/setaraf yang memohon melanjutkan pengajian di IPTA dengan Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00 mendapat tempat pengajian.
Berdasarkan rekod, sejumlah 1,255 calon lepasan STPM dengan PNGK 4.00 telah memohon, di mana 1,249 calon telah pun ditawarkan tempat, manakala enam calon lagi akan ditawarkan selepas melengkapkan dokumentasi yang diperlukan.
Menurut JPT, bagi menjawab dakwaan seorang calon STPM yang membuat pengaduan kepada seorang ahli Parlimen, beliau telah berjaya ditawarkan program Sarjana Muda Pengurusan Dengan Kepujian (Strategi & Organisasi/ Pemasaran/ Kewangan/ Operasi/ Perniagaan Antarabangsa/ Kewangan Islam/ Analitik Perniagaan) di sebuah universiti penyelidikan terkemuka negara yang juga merupakan pilihan kelimanya sendiri.
“Walaupun beliau memperoleh PNGK 4.00 dalam STPM dan markah kokurikulum 9.90 yang menjadikan merit beliau 99.90 peratus,” katanya.
Menurutnya, ranking permohonannya dalam program perakaunan yang dimohon adalah seperti berikut:
i. UM – permohonan layak: 2,291 orang, dengan 1,127 memperoleh merit 100 peratus. Calon berada di kedudukan 1,129, sedangkan UM hanya menyediakan 85 tempat.
ii. UPM – permohonan layak: 4,154 orang, dengan 1,718 memperoleh merit 100 peratus. Calon berada di kedudukan 1,724, sedangkan UPM hanya menyediakan 100 tempat.
iii. UUM – permohonan layak: 2,595 orang, dengan 1,282 memperoleh merit 100 peratus. Calon berada di kedudukan 1,288, sedangkan UUM menyediakan 350 tempat.
iv. UTM – permohonan layak: 2,292 orang, dengan 1,060 memperoleh merit 100 peratus. Calon berada di kedudukan 1,062, sedangkan UTM hanya menyediakan 55 tempat.
Dalam hal ini, katanya, calon telah ditawarkan tempat berdasarkan pencapaian merit dan pilihan program yang dimohon, sama seperti calon-calon lain.
Pada masa sama, JPT menegaskan pihaknya terbuka menerima sebarang pandangan dan penambahbaikan terhadap sistem sedia ada.
“Kaunter konsultasi permohonan rayuan UPUOnline dibuka bagi calon yang ingin mendapatkan maklumat lanjut termasuk calon yang tidak berjaya di Ruang Legar Kementerian Pendidikan Tinggi, Putrajaya sehingga 12 September 2025,” katanya.