Terletak di hutan hujan tropika Sarawak, Gua Air Jernih di Taman Negara Mulu memukau dengan panorama bawah tanah berusia jutaan tahun, termasuk aliran sungai jernih yang mengalir di celah dinding batu kapur.
Dengan sistem gua sepanjang 265 kilometer, ia diiktiraf sebagai gua bawah tanah terpanjang di Asia Tenggara dan kelapan terpanjang di dunia. Pelawat hanya perlu menyusuri laluan sepanjang 800 meter untuk menikmati formasi batu kapur menakjubkan.
Selain flora endemik seperti one leaf plant dan orkid slipper, gua ini turut menjadi habitat unik ketam buta, ikan keli buta dan kura-kura tempurung lembut. Sinar matahari yang menembusi ruang tertentu pula membentuk formasi phytokarst menyerupai puncak tajam Gunung Api, menambah lagi pesona geologi gua ini.