Pemandu e-Hailing didenda RM23,000 tipu skim rumah MyHome

Iklan
Tertuduh diiringi pegawai SPRM ketika dibawa ke Mahkamah Butterworth pada Selasa.

BUTTERWORTH – Mahkamah Sesyen di sini menjatuhkan hukuman denda RM23,000 terhadap seorang pemandu e-hailing selepas dia mengaku bersalah atas lima pertuduhan menipu berkaitan penjualan rumah di bawah Projek Perumahan Skim MyHome Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Tertuduh, A Thirumurthi, 44, juga berdepan hukuman penjara antara dua hingga enam bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Iklan
Iklan

Keputusan itu dibuat Hakim Zulhazmi Abdullah selepas tertuduh yang juga bapa kepada tiga anak itu mengaku memperdayakan seorang lelaki berusia 32 tahun kononnya dia merupakan ejen perumahan bagi penjualan rumah bernilai RM198,000.

Berikutan itu, mangsa menyerahkan wang keseluruhan berjumlah RM7,393.60 secara berperingkat ke dalam akaun Maybank milik tertuduh antara 24 September hingga 31 Oktober 2022.

Iklan

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Noor Azura Zulkiflee bersama Muhammad Syahmi Mohd Sanusi, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Iklan

Ketika prosiding, Noor Azura memohon agar mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal berbentuk pengajaran supaya tertuduh tidak mengulangi kesalahan sama.

Tegasnya, menipu adalah perbuatan serius dan kerap berlaku sejak kebelakangan ini.

“Jumlah denda seharusnya mencerminkan nilai keseluruhan pertuduhan dengan mengambil kira kepentingan awam,” katanya.

Bagaimanapun, tertuduh dalam rayuannya memaklumkan kepada mahkamah bahawa dia menghidap penyakit jantung, kencing manis serta darah tinggi, selain menanggung tiga anak, isteri dan ibu dengan pendapatan kurang RM2,000 sebulan sebagai pemandu e-hailing.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda keseluruhan RM23,000 bagi lima pertuduhan, dan sekiranya gagal dibayar, tertuduh akan dipenjara antara dua hingga enam bulan.