KULIM - Seorang wanita ditahan selepas dilaporkan berkelakuan tidak senonoh, khianat harta benda dan menyerang anggota di Balai Polis Sungai Kob, di sini pada Jumaat.
Peniaga berusia 32 tahun itu pada mulanya tiba di balai sekitar jam 3.30 petang sebelum bertindak melakukan provokasi dengan melemparkan kata-kata kesat terhadap anggota.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kulim, Deputi Superintendan Tengku Mohd Faisal Tengku Yeng berkata, suspek kemudian bertindak agresif dengan menumbuk muka anggota yang datang untuk menenangkannya.
"Pada jam lebih kurang 3.30 petang, suspek telah sampai di Balai Sungai Kob dan telah membuat provokasi dengan mengeluarkan perkataan kesat kepada polis.
"Seorang anggota datang untuk tenangkan suspek namun telah ditumbuk di muka. Pada jam 3.45 petang, seorang lagi anggota telah sampai namun suspek telah memaki anggota tersebut dengan perkataan kurang sopan sebelum menendang pintu kaunter aduan sehingga pecah," katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, suspek telah direman selama tiga hari bagi membantu siasatan.
Wanita itu akan dihadapkan ke Mahkamah Kulim pada Isnin bawah Seksyen 90 Akta Polis 1967 kerana berkelakuan tidak senonoh di balai polis, Seksyen 332 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada polis dan Seksyen 426 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat.