Setahun tinggal di Malaysia tak bekerja, kawan tanggung makan minum

Iklan
Warga Pakistan yang ditahan dalam serbuan di Apartmen Seri Semarak, Bukit Beruntung pada Khamis lalu.

HULU SELANGOR – Seorang lelaki warga Pakistan mendakwa rakannya telah ‘menaja’ segala perbelanjaan sepanjang setahun berada di Malaysia tanpa bekerja.

Lelaki berusia 22 tahun itu mendakwa memasuki negara ini menggunakan penerbangan dengan alasan melancong, namun terus menetap dan bergantung sepenuhnya kepada rakan bagi menampung sewa rumah serta perbelanjaan harian.

Iklan
Iklan

“Saya tak bekerja, sudah setahun tinggal di sini. Kawan yang tanggung semua perbelanjaan makan, minum dan sewa tempat tinggal,” katanya ketika ditemui semasa Operasi Bersepadu Jabatan Imigresen Malaysia pada Khamis lalu. 

Menurutnya, dia memanjat bumbung kerana panik selepas melihat beberapa warga asing lain ditahan dalam operasi berkenaan.

Iklan

“Saya takut sebab tiba-tiba semua kena tahan, jadi saya panjat sahaja (bumbung) tanpa fikir keselamatan untuk selamatkan diri,” ujarnya.

Dalam cubaan melarikan diri itu, lelaki berkenaan bertindak memanjat bumbung apartmen setinggi lima tingkat sebelum berjaya dipujuk turun oleh anggota penguat kuasa.

Iklan

Dia turut bertindak agresif ketika ditahan sehingga terpaksa digari, malah melakukan pelbagai helah termasuk berpura-pura disakiti bagi mengelakkan diambil tindakan.

Sementara itu, seorang lagi warga asing yang mendakwa dirinya pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), Halim, 59, berkata, dia telah tinggal di Malaysia sejak sembilan tahun lalu bersama isteri dan dua anaknya.

Katanya, dia kini menganggur selepas dibuang kerja dua bulan lalu kerana majikan enggan menggajikannya semula disebabkan status pemegang kad UNHCR.

“Sebelum ini saya bekerja sebagai pencuci dengan gaji RM1,500 sebulan, cukup untuk tampung keluarga.

“Sewa rumah di sini RM400 sebulan, jadi pendapatan itu memang cukup untuk kami sekeluarga,” katanya.

Dalam pada itu, seorang penduduk setempat mendakwa rata-rata warga asing di kawasan berkenaan menyewa unit apartmen dengan harga sekitar RM400 hingga RM600 sebulan.

“Kami rimas sebab mereka selalu buat kecoh di kawasan ini, antaranya mabuk dan suka buat bising, itu sangat menganggu kami (penduduk di sini)” katanya.

Operasi yang bermula jam 8.30 malam dan berakhir jam 1 pagi itu dijalankan dengan kerjasama Agensi Antidadah Kebangsaan, Jabatan Pendaftaran Negara serta Majlis Perbandaran Hulu Selangor.