TUNIS – Penganjur flotila menuju Gaza yang membawa bantuan kemanusiaan serta aktivis pro-Palestin mendakwa lewat Isnin bahawa salah sebuah kapal mereka terkena serangan dipercayai dron.
Bagaimanapun, pihak berkuasa Tunisia menegaskan letupan tersebut berpunca dari dalam kapal.
Jurucakap Pengawal Kebangsaan Tunisia memberitahu stesen radio Mosaique FM bahawa laporan serangan dron terhadap flotila itu 'tidak berasas sama sekali'.
Flotila tersebut, yang bertujuan menghantar bantuan ke Gaza sebagai penentangan terhadap sekatan Israel, tiba di Tunisia hujung minggu lalu dan berlabuh kira-kira 50 batu dari pelabuhan Sidi Bou Said ketika insiden itu dilaporkan.
“Flotila Global Sumud (GSF) mengesahkan bahawa salah sebuah kapal utama terkena serangan yang dipercayai dilakukan dron,” kata penganjur di media sosial, sambil menambah tiada kecederaan dilaporkan.
Menurut wartawan AFP yang tiba di lokasi selepas api dipadamkan, kebakaran berlaku di atas kapal ketika berada di perairan Tunisia namun berjaya dikawal segera.
Jurucakap Pengawal Kebangsaan Tunisia, Houcem Eddine Jebabli berkata, siasatan masih dijalankan tetapi menegaskan 'tiada dron dikesan'.
“Menurut penemuan awal, kebakaran berlaku pada jaket keselamatan di atas kapal yang berlabuh kira-kira 50 batu dari pelabuhan Sidi Bou Said,” katanya.
Kenyataan rasmi Pengawal Kebangsaan di Facebook pula menegaskan laporan serangan dron “sama sekali tidak berasas”, sambil menyatakan kebakaran itu mungkin berpunca daripada rokok.
Flotila Global Sumud memperkenalkan dirinya sebagai sebuah kumpulan bebas yang tidak terikat dengan mana-mana kerajaan atau parti politik. “Sumud” dalam bahasa Arab membawa maksud “keteguhan” atau “ketabahan”.
Antara peserta terkenal dalam misi ini ialah Greta Thunberg, yang turut menyampaikan ucapan kepada penyokong Palestin di Tunisia pada Ahad.
Israel sebelum ini telah menyekat dua cubaan aktivis untuk menghantar bantuan melalui laut ke Gaza pada bulan Jun dan Julai.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah mengisytiharkan keadaan kebuluran di beberapa bahagian Gaza, dengan amaran bahawa 500,000 penduduk berdepan situasi “amat kritikal”.