SHAH ALAM - Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil melancarkan Sistem Komunikasi Radio dan Internet Bersepadu Bergerak (PRIME) peringkat negeri Sabah hari ini.
Pelancaran tersebut sempena sambutan program Hari Bersama Komuniti (HBK) di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI), Kampung Sungai Imam, Tawau, Sabah.
PRIME merupakan sistem komunikasi bergerak berasaskan kenderaan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) yang dilengkapi pelbagai teknologi termasuk satelit, rangkaian selular, radio mudah alih, Wi-Fi dan sokongan dron.
MCMC dalam satu kenyataan memberitahu, PRIME berupaya menjalankan operasi menyelamat semasa bencana bersama agensi terlibat dengan lebih pantas dan berkesan.
“Setakat ini, dua unit PRIME telah ditempatkan di Semenanjung dan Sabah, manakala unit ketiga untuk Sarawak dijangka siap pada Oktober depan,” katanya.
Sempena program tersebut, Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai itu turut meninjau kualiti liputan komunikasi di menara Jalinan Digital Negara (JENDELA) Fasa 1 di Kampun Kuala Merotai.
Menara tersebut mula beroperasi pada 27 September lalu menggunakan 4-Way Multi-Operator Core Network (MOCN) dengan perkongsian perkhidmatan oleh CelcomDigi, Maxis dan U Mobile yang diuruskan syarikat Redtone.
Hasil ujian menggunakan aplikasi MCMC NEXUS mendapati menara berkenaan menawarkan kelajuan sekitar 50Mbps bagi perkhidmatan 4G dan memanfaatkan kira-kira 1,200 penduduk.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa dan Pengarah Urusan MCMC, Abdul Karim Fakir Ali.
Terdahulu, HBK turut meraikan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia secara serentak di 1,099 NADI seluruh negara dengan pelbagai pengisian menarik.
Antaranya perkhidmatan pintar, Jualan Rahmah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan pameran oleh usahawan NADI.
Pada sama sama, penyampaian sumbangan program Didik Kasih Peranti Madani (PERMAI) Pelajar Cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU, JPM).
Selain itu, penyampaian surat lantikan Pengerusi Panel Penasihat NADI bagi Parlimen Kalabakan, Tawau dan Lahad Datu turut diadakan pada majlis sama.