MELAKA - Minat untuk mencuba bidang baharu menjadi kunci kejayaan bagi seorang anggota Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat Lapangan Terbang (AFRS), Aliff Danial Adam, 25, yang muncul sebagai kadet terbaik keseluruhan.
Aliff Danial berkata, sebelum ini beliau berkhidmat sebagai anggota bomba di Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Perak sejak tahun 2020 sebelum mengambil keputusan menyertai AFRS.
Menurutnya yang memiliki diploma teknologi automotif, kerjaya di lapangan terbang dianggap lebih mencabar meskipun objektifnya tetap sama iaitu berkaitan aspek operasi keselamatan, khususnya di kawasan penerbangan.
Katanya, pengalaman lebih tiga tahun sebagai pegawai sepenuh masa JBPM menjadi bekalan berguna sebelum melangkah ke cabaran lebih besar sebagai anggota keluarga AFRS.
"Keputusan untuk menyertai AFRS dibuat kerana saya ingin menceburi bidang baharu yang lebih mencabar.
"Secara umum, saya memang minat dalam aspek operasi keselamatan, jadi inilah peluang untuk saya kembangkan diri dan menambah kemahiran kerana tugasan di lapangan juga mempunyai cabarannya tersendiri," katanya.
Aliff Danial berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perbarisan Tamat Latihan Asas Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat Lapangan Terbang (AFRS) yang disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Dr Mohd Ali Rustam di Lapangan Terbang Antarabangsa (LTAM) Batu Berendam pada Isnin.
Hadir sama, Exco Belia, Sukan dan NGO, Datuk VP Shanmugam serta Pengurus Besar AFRS, Muhammad Hidayat Ismail.
Tambah anak kelahiran Kota Kinabalu, Sabah itu, sokongan keluarga terutama isteri yang merupakan seorang pendidik di Ipoh, Perak menjadi sumber kekuatan utama sepanjang tempoh latihan yang penuh cabaran.
“Selain keluarga, isteri saya juga banyak memberikan dorongan.
"Kami sudah tiga tahun berkahwin dan walaupun belum dikurniakan cahaya mata, namun dia tetap menjadi pendorong utama kepada kejayaan saya ini," katanya yang menekankan disiplin, semangat berpasukan dan ketahanan mental sebagai rahsia kejayaan.
Ujarnya, pencapaian hari ini bukan sekadar hasil usaha sendiri tetapi juga berkat doa dan sokongan orang sekeliling yang tidak pernah jemu memberikan semangat.
Sementara itu, Muhammad Hidayat berkata, dengan kemasukan 159 anggota baharu itu, keanggotaan AFRS kini meningkat kepada 990 orang di seluruh negara, sekali gus memperkukuh kesiapsiagaan operasi di lapangan terbang utama.
Menurutnya, penubuhan AFRS terbukti sangat membantu dalam menangani kes-kes kecemasan, lebih-lebih lagi memastikan tahap keselamatan lapangan terbang negara sentiasa berada pada tahap tertinggi.
Katanya, kejayaan menamatkan latihan ini bukan sekadar simbolik, tetapi satu amanah besar demi keselamatan ribuan nyawa pengguna lapangan terbang setiap hari.
"Pasukan ini merupakan barisan hadapan dalam menghadapi sebarang kecemasan berkaitan pesawat.
"Dengan barisan baharu ini, AFRS bukan sahaja mengisi keperluan perjawatan, malah menjadi benteng utama negara dalam memastikan operasi penerbangan di Malaysia sentiasa selamat dan terkawal," katanya.