KOTA BHARU - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan menyasarkan semua anggotanya boleh berenang menjelang akhir tahun ini bagi memperkukuh keupayaan operasi terutama ketika berdepan situasi banjir.
Pengarah negeri, Farhan Sufyan Borhan berkata, setakat ini seramai 53 anggota masih tidak boleh berenang berbanding 88 orang sebelum ini.
“Latihan akan dilaksanakan dari masa ke masa supaya semua anggota boleh berenang kecuali mereka yang mempunyai masalah kesihatan.
“Walaupun kemahiran berenang bukan salah satu syarat ketika pemilihan menjadi anggota, namun ia mungkin boleh dipertimbangkan selepas ini sebagai syarat wajib oleh pihak pengurusan tertinggi,” katanya semasa sidang akhbar pada Isnin.
Sebelum itu, Farhan Sufyan merasmikan Majlis Perhimpunan Kali Ke-5 Tahun 2025 di JBPM Kelantan Tunjung.
Menurut beliau, sebagai pasukan penyelamat, anggota bomba bukan sahaja bertugas memadam kebakaran, tetapi turut terlibat dalam operasi di kawasan air yang memerlukan kemahiran berenang.
Ujarnya, ketika banjir anggota perlu mendahulukan keselamatan mangsa jadi adalah penting mereka memiliki kemahiran tersebut.