SHAH ALAM - Sebuah parti politik tidak akan mempunyai masa depan yang cerah sekiranya budaya budak suruhan terus bercambah.
Bekas Naib Presiden MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker berkata, politik tidak boleh bertahan dengan amalan mengampu, membisu atau menjadi pak turut membuta tuli.
Menurut beliau, budaya itu mungkin menghiburkan pemimpin atasan buat seketika tetapi ia tidak akan memulihkan kredibiliti parti apatah lagi mengembalikan relevan Barisan Nasional (BN) yang kian merosot.
"Kekalahan pilihan raya bukan sebab untuk menutup mulut ahli parti, lebih-lebih lagi di era media sosial. Jika logik ini dipakai, MCA sepatutnya berdiam diri selepas kekalahan demi kekalahan dan membiarkan DAP mentadbir hingga Pilihan Raya Umum (PRU) seterusnya.
"Sindiran Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, 'Diam MCA' tidak seharusnya menjadi norma. Itu bukan demokrasi. Dalam demokrasi, setiap ahli menang atau kalah berhak, malah wajib menyuarakan pandangan secara membina.
"Menjadi budak suruhan sudah cukup memalukan tetapi lebih teruk jika ada yang menafikan hak akar umbi demi menyedapkan hati pemimpin atasan," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.
Sebelum ini, Lian Ker menolak dakwaan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi bahawa beliau mahu parti itu keluar daripada BN sebaliknya menegaskan tujuannya adalah untuk menyelamatkan BN bukan meninggalkannya.
Terdahulu, Mohd Puad dalam satu hantaran Facebook mendakwa MCA berpecah kepada dua kumpulan satu mendesak keluar segera daripada BN manakala satu lagi masih ragu-ragu dan menuduh Lian Ker memihak kepada kumpulan pertama.
Mohd Puad membuat dakwaan tersebut selepas Lian Ker memberi amaran bahawa kelewatan membuat keputusan mengenai masa depan MCA dalam BN berisiko menjarakkan hubungan dengan ahli akar umbi.
Tambah Lian Ker, lebih tiga dekad dalam politik, beliau hanya kalah sekali dalam pemilihan dalaman dan tidak pernah kalah dalam tiga PRU yang disertai.
"Tetapi saya tidak pernah membisu atau mengampu. Sebaliknya, saya menyumbang melalui tulisan ilmiah dan bertanggungjawab demi maruah parti.
"Walaupun diketepikan sejak 2008, saya kekal setia dan aktif kerana yakin pada perjuangan parti. Saya bukan pemain politik yang mengejar jawatan, sebaliknya seorang pekerja politik yang berpegang pada prinsip.
"Ironinya, ada yang dianggap 'anak emas' kepimpinan walaupun tewas teruk dalam PRU lalu dan gagal diterima di bahagian atau negeri, cuba mendiamkan saya. Bezanya jelas saya tidak pandai mengampu tetapi saya tidak pernah meninggalkan prinsip dan hak untuk bersuara," katanya.
Menurutnya, apa yang lebih mengecewakan ahli bukan kekalahan parti tetapi ketiadaan keputusan.
Ujarnya, terlalu banyak mesyuarat, perbincangan dan sesi perbincangan minda termasuk yang diadakan di Genting Highlands tetapi akhirnya tiada hala tuju.
"Saya bersuara atas semangat demokrasi, mendesak kepimpinan bertindak tegas. Isu bukan sekadar kekal atau keluar BN, tetapi imej, naratif dan keberanian MCA menegur UMNO, termasuk kerjasama dengan DAP yang boleh mengancam kelangsungan MCA.
"Saya tidak pernah menggesa MCA keluar BN. Malah, ketika BN tumbang pada 2018, saya menolak desakan tersebut dan membuat kenyataan umum bahawa MCA hanya akan keluar jika BN dibubar secara kolektif. Pendirian ini saya pegang hingga kini, meskipun berdepan risiko politik dan sabotaj," katanya.
Jelasnya, kritikan beliau bukan untuk menjatuhkan sesiapa tetapi berlandaskan prinsip dan mewakili suara akar umbi.
Ujarnya, dalam politik, keberanian menyatakan kebenaran jauh lebih bernilai daripada budaya membodek demi kedudukan.
"Saya kecewa apabila Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan menyeru MCA dan MIC supaya bersuara dalam mesyuarat tetapi realitinya ada yang menyuruh ketua bahagian diam. Jika keputusan sudah dibuat, pemimpin mesti turun padang, adakan roadshow dan terangkan hala tuju parti.
"Jangan berlengah hingga peluang strategik terlepas. Dalam politik, satu malam sudah terlalu lama kerana kita boleh kehilangan ribuan penyokong dan hakikatnya, kita sudah kehilangan ramai ahli muda," katanya.
Menurut beliau, kelangsungan MCA bergantung pada keberanian untuk menegur secara membina, mendesak reformasi dalam BN dan bersuara walaupun tidak disenangi.
Katanya, jika kepimpinan pusat masih takut membuat keputusan, adakan mesyuarat agung luar biasa (EGM) supaya perwakilan menentukan hala tuju parti.
"MCA mesti kekal setia kepada BN, tetapi kesetiaan tidak bermakna membisu. Kesetiaan tanpa keberanian hanyalah kehambaan dan kehambaan tidak akan memenangi pilihan raya.
"Saya akan terus mendokong perjuangan MCA dan BN tetapi bukan dengan budaya bodek, bukan dengan sikap pak turut dan bukan dengan diam membisu.
"Budaya budak suruhan yang hanya mengampu dan menekan suara akar umbi tidak akan menyelamatkan MCA. Hanya prinsip, keberanian dan kepimpinan tegas mampu memulihkan maruah parti," katanya.