SHAH ALAM - Pemuda UMNO menyatakan hasrat untuk menawarkan khidmat guaman secara percuma kepada individu yang ditahan dalam himpunan Gerakan Anti Rumah Anutan Haram (GARAH), malam Sabtu.
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, pihaknya difahamkan beberapa individu yang ditahan pihak berkuasa dalam perhimpunan itu dijangka didakwa di mahkamah pada bulan hadapan
"Insya-ALLAH Pergerakan Pemuda UMNO menawarkan khidmat peguam dalam kalangan kami secara percuma kepada mereka yang ditahan.
"Jangan risau, kami bersama dengan anda semua," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Ahad.
Dr Muhamad Akmal menegaskan bahawa hak rakyat Malaysia untuk berhimpun secara aman adalah hak yang dijamin oleh perlembagaan.
Menurut beliau, kerajaan sepatutnya menjadi pelindung kepada golongan yang ditahan itu.
"Atas sebab apa mereka ini ditangkap dan ditahan oleh pihak berkuasa semalam? Adakah hak itu sudah tidak sah lagi?
"Seperti mana pihak pembangkang sebelum ini menuntut hak rakyat untuk keluar berhimpun, hak itu sepatutnya dipertahankan juga ketika mereka menerajui kerajaan pada hari ini, bukannya menakutkan rakyat dengan kuasa yang ada pada kamu.
"Sepatutnya tahan orang yang menceroboh tanah, bukannya tahan orang yang mempertahankan pencerobohan!" ujar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan, polis menahan seramai 19 individu termasuk peguam kanan, Mohamed Haniff Khatri Abdulla dan dua aktivis bagi membantu siasatan berhubung penganjuran himpunan GARAH berhampiran Kompleks Beli Belah Sogo di ibu kota pada Sabtu.
Dua aktivis terbabit ialah penyelaras himpunan GARAH, Zamri Vinoth dan Pengasas TanahMalaya.com, Tamim Dahari Abdul Razak.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur mengesahkan kedua-duanya direman selama dua hari bermula Ahad di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk siasatan lanjut.
Jelas Fadil, tangkapan dibuat susulan perhimpunan 'ad hoc' yang berlaku walaupun pihak polis tidak membenarkan penganjurannya atas faktor keselamatan dan ketenteraman awam.
Menurutnya, penahanan membabitkan 15 lelaki dan empat wanita tempatan berusia antara 30 hingga 64 tahun.
Beliau berkata, dua individu disiasat di bawah Akta Hasutan 1948, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Sementara 17 individu ditahan di bawah Seksyen 105 Kanun Tatacara Jenayah, bagaimanapun kesemuanya dibebaskan dengan jaminan.
Selain daripada tangkapan semalam, Fadil berkata, polis turut menahan tiga lelaki yang terbabit dalam hasutan membabitkan kes sama dan siasatan dijalankan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948.
Perhimpunan aman dengan sokongan 141 badan bukan kerajaan (NGO) itu dipercayai dirancang bagi menyuarakan kebimbangan terhadap isu pembinaan rumah anutan haram yang didakwa semakin berleluasa.