2 ahli MPT Bersatu cabar Hamzah buat penafian

Iklan
Kenyataan bersama Jasri dan Mohd Yazid pada Ahad.

SHAH ALAM - Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainudin dicabar untuk tampil menafikan secara tegas beliau tidak terlibat dalam gerakan terancang memperlekehkan kepimpinan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Gesaan terbuka itu dibuat dua dua ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Jasri Jamaludin dan Mohd Yazid Mohd Yunus.

Iklan
Iklan

Menerusi kenyataan bersama Jasri dan Mohd Yazid berkata, penafian Ahli Parlimen Larut itu penting bagi menamatkan segera kemelut yang berlaku ketika ini.

“Persoalan ini semakin serius apabila nama Datuk Seri Hamzah Zainudin sering dikaitkan dengan gerakan tersebut.

Iklan

“Jika benar beliau tidak terlibat, maka beliau wajib tampil menafikan secara tegas dan menghentikan sebarang usaha yang mencalar kestabilan parti.

“Namun jika benar wujud perancangan tersusun untuk melemahkan kepimpinan Presiden, maka itu bukan lagi perbezaan pandangan. Itu adalah sabotaj dalaman,” kata kenyataan bersama itu pada Ahad.

Iklan

Pada Sabtu, dua ahli MPT Bersatu iaitu Ketua Bahagian Bersatu Kuala Selangor, Datuk Harrison Hassan dan Ketua Bersatu Kuala Langat, Rosnizan Ahmad secara berasingan menggesa Lembaga Disiplin parti itu menyiasat Hamzah atas dakwaan memperlekehkan kepimpinan Muhyiddin.

Kenyataan ketua-ketua bahagian itu dibuat di tengah-tengah spekulasi mengenai usaha terbaru untuk menyingkirkan Ahli Parlimen Larut itu melalui satu petisyen yang didakwa diedarkan dalam kalangan wakil rakyat dan ketua-ketua bahagian parti.

Mengulas lanjut, Jasri dan Mohd Yazid berkata, Hamzah juga perlu menunjukkan keberanian moral untuk berdepan tindakan disiplin sekiranya siasatan mendapati wujud pelanggaran terhadap Perlembagaan parti.

“Jika benar prinsip parti telah dicabuli, beliau sendiri wajar menyerahkan mandat dan bersedia dipecat demi memelihara integriti Bersatu,” kata mereka.

Kedua-ahli MPT itu turut menegaskan, tiada siapa lebih besar daripada parti dan kebal daripada tindakan.

“Bersatu tidak boleh bertolak ansur dengan politik bayang-bayang, percaturan tersembunyi dan gerakan yang melemahkan parti dari dalam,” katanya.