SHAH ALAM - Kluster yang dikaitkan dengan bekas Naib Presiden MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker dilapor mahu parti itu segera keluar daripada Barisan Nasional (BN) agar dapat bertanding lebih banyak kerusi dan mengharapkan sokongan pengundi Melayu daripada Pas serta Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Bagaimanapun, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berpandangan, kepimpinan MCA bimbang akan mengulangi nasib malang yang menimpa Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Bayan Lepas.
Menurut Mohd Puad, pemimpin-pemimpin MCA dan MIC juga dilihat tidak yakin bahawa sekiranya mereka menyertai Perikatan Nasional (PN), pengundi Melayu – khususnya dari Pas – akan memberikan undi kepada mereka.
“Undi Melayu daripada UMNO lebih terjamin. Kluster Lian Ker memang mahu MCA keluar segera dari BN supaya MCA boleh bertanding lebih banyak kerusi dan berharap pada undi Melayu Pas serta Bersatu.
“Tetapi pimpinan MCA bimbang apa yang berlaku kepada Dominic akan berulang kepada MCA,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Ahad.
Beliau merujuk kepada kekalahan Dominic dalam PRN Bayan Lepas – sebuah kawasan yang merupakan kubu kuat Pas – meskipun beliau berkempen bersama parti tersebut, namun tetap berdepan halangan.
Sebelum ini, Lian Ker berpendapat bahawa MCA masih terperangkap dalam dilema hala tuju politik, berbeza dengan MIC yang menurutnya lebih jelas dan tegas dalam membuat keputusan untuk bergerak sendiri, tanpa sekadar menjadi pelengkap 'hiasan' dalam BN.
Jelas beliau, situasi tersebut membimbangkan kerana kepimpinan MCA ketika ini tidak menunjukkan ketegasan pada saat-saat paling penting.
Lian Ker turut memberi amaran bahawa sekiranya kepimpinan pusat terus gagal menangani isu ini, akar umbi parti mungkin akan mencari haluan sendiri.
Tambah beliau, UMNO sudah membuktikan mereka tidak lagi menunggu konsensus BN dalam membuat keputusan besar, manakala MIC, melalui kenyataan Setiausaha Agungnya, turut menegaskan bahawa parti itu tidak akan menunggu MCA untuk bertindak.