Pemimpin luar termasuk ASEAN kagum inisiatif bantuan rakyat Malaysia - Anwar

Iklan
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Majlis Perasmian Penutupan Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Kedah di Kompleks Sukan Majlis Daerah Baling hari ini. Foto Bernama

BALING - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan pemimpin luar termasuk dari ASEAN mengakui pelaksanaan bantuan kerajaan seperti Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) sebagai sesuatu yang luar biasa dan sukar ditandingi.

Beliau berkata, peruntukan sebanyak RM15 bilion yang disalurkan kerajaan bagi membantu sembilan juta rakyat tidak mampu dilaksanakan kebanyakan negara lain.

Iklan
Iklan

“Kita bercakap soal i-Sara, ada yang mencemuh, tetapi mereka lupa itu tambahan kepada SARA dan STR. Kita beri RM15 bilion untuk sembilan juta rakyat.

“Apabila saya berbincang dengan kawan-kawan luar negara, khususnya pemimpin ASEAN, mereka mengakui tidak mampu melakukan perkara yang sama,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian penutup Program Madani Rakyat di Majlis Daerah Baling pada Sabtu.

Iklan

Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Anwar berkata, Perdana Menteri Vietnam hanya mampu mengumumkan bantuan sekitar RM50 bagi seorang rakyat negara itu, lalu menzahirkan rasa hairan bagaimana Malaysia dapat melaksanakan bantuan dalam skala besar.

Iklan

Katanya, inisiatif yang diperkenalkan kerajaan bukan sahaja meringankan beban rakyat dalam mendepani kos sara hidup, malah turut menjadi rujukan kepada negara-negara jiran.

Anwar turut memberi jaminan kerajaan akan terus bersemangat untuk menjaga kebajikan rakyat miskin dan usaha itu akan terus dikekalkan selaras dengan komitmen kerajaan meningkatkan taraf hidup rakyat.

“Harapan saya, rakan-rakan faham. Jangan rasuah, jangan curi harta rakyat.

"Kita kena jaga supaya jamin kehidupan rakyat lebih baik. Negara mesti aman, ekonomi pula mesti kukuh,” katanya.

Tambah beliau, setiap pemimpin harus memahami amanah yang dipikul dan tidak sesekali terlibat dengan rasuah mahupun menyeleweng harta rakyat.

“Peruntukan besar yang kerajaan berikan duit itu dari mana, antaranya hasil daripada pelaburan strategik di Kulim Hi-Tech Park (KHTP) serta semua zon-zon perindustrian di seluruh negara.

“Mahu jadi pemimpin, kena ada tanggung jawab. Setakat ini, kerajaan sudah salurkan RM15 bilion termasuk SARA baru-baru ini.

"Kita tidak pandang ringan hal ini dan akan cuba sedaya upaya membantu rakyat,” ujarnya.

Anwar berkata, dalam memacu pertumbuhan ekonomi negara dan pelaburan yang semakin meningkat dengan angka-angka meyakinkan, kerajaan akan terus menjaga kebajikan rakyat terutama golongan miskin.

“Ukuran sebenar kejayaan negara ialah bagaimana kerajaan dapat agihkan kemakmuran dengan adil dan menjamin keselesaan kepada rakyat termasuk di kawasan terpinggir dan terpencil.

"Dalam kerajaan MADANI kita teruskan beri tumpuan dan perhatian dalam soal pembangunan wilayah dan desa, khususnya bantuan langsung kepada rakyat," katanya.