GERIK - Kelibat sekumpulan gajah liar sekitar 11 ekor berjaya dirakam lensa petugas media yang mengikuti ekspedisi selama tiga hari dua malam ke Taman Negeri Royal Belum anjuran WWF-Malaysia dan Maybank.
Pengalaman melihat kawanan gajah dari jarak kira-kira 30 meter selama satu jam pada petang Selasa lalu cukup memberikan kenangan manis kerana tiada yang menunjukkan tanda-tanda terancam dengan kehadiran manusia.
Malah, gajah-gajah tersebut boleh dikatakan 'mesra kamera' kerana sebelum ini terdapat segelintir kawanan lain yang enggan memunculkan diri di hadapan umum.
Pengusaha bot dan pelancongan Royal Belum, Mohd Taufik Hasan Saari, 41, berkata, dia menyedari terdapat sekumpulan gajah berkeliaran di seberang Kampung Klewang sejak tiga hari lalu dan yakin kawanan itu akan muncul lagi pada belah petang untuk mencari makanan.
"Gajah liar mempunyai bau khas seakan-akan lumpur hamis dan keberadaannya boleh diketahui dari jarak jauh sekitar 200 meter kerana bau badannya ditiup angin.
"Daripada situlah kami (pengusaha dan pemandu bot lain) tahu di mana gajah ini berada tetapi, tak sangka pula ada rezeki lihat gajah liar memunculkan diri di hadapan pengunjung.
"Kalau nampak manusia, mereka lari masuk ke hutan. Kali ini boleh dikatakan rezeki kerana gajah-gajah liar 'belanja' momen mandi sungai sambil cari makan dalam waktu cukup lama.
"Selalunya tak berlaku pun macam itu," katanya ketika ditemui Sinar Harian baru-baru ini.
Wakil media yang mengikuti ekspedisi WWF-Malaysia dan Maybank ialah dua mewakili Sinar Harian, tiga dari Astro Awani serta seorang, masing-masing The Star dan Sin Chew Daily.
Ekspedisi itu bertujuan memberikan gambaran tentang usaha WWF-Malaysia membangunkan pelan konservasi Harimau Malaya, pembanterasan aktiviti pemburuan haram, interaksi bersama penduduk kampung dan renjer Orang Asli serta penjagaan kelestarian hidupan liar di lanskap Belum-Temengor, menerusi kerjasama Maybank.
Mohd Taufik memaklumkan, Ogos dan September tempoh yang sesuai untuk melihat secara langsung gajah serta hidupan liar lain memunculkan diri di tepian tasik memandangkan paras air menurun.
Jelasnya, ia membolehkan gajah, kancil, rusa sambar dan harimau berenang dan bermain di tebing air.
"Boleh dikatakan 11 ekor gajah ini antara kumpulan yang besar. Ada juga suka menyendiri kebiasaannya gajah jantan.
"Tetapi, kena beringat juga yang gajah ini hidupan liar jadi mesti berhati-hati.
"Gajah ini kalau kehabisan makanan di satu-satu tempat, mereka pusing ke tempat lain dahulu. Satu masa lain mereka akan balik ke lokasi sama, contohnya selepas tahi gajah kering, mereka pasti datang semula," ujarnya.