Pengantin lelaki terlantar kemalangan, akad nikah buat dalam wad hospital

Iklan
Acara akad nikah berlangsung dalam keadaan Che Muhammad Rifqi Danial terlantar kerana kemalangan jalam raya.

KUALA KRAI – Sepasang pengantin membuktikan ketulusan cinta mereka apabila tetap melangsungkan akad nikah di Wad 6C Ortopedik Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP) di sini pada Jumaat walaupun pengantin lelaki sedang menerima rawatan akibat kemalangan jalan raya.

Che Muhammad Rifqi Danial Che Alias, 25, yang bekerja sebagai penyelia kedai aksesori kereta, patah paha dan tulang rahang selepas motosikal ditungganginya berlanggar dengan sebuah kereta dalam perjalanan ke tempat kerja di Banggol Kulim di sini, Isnin lalu.

Iklan
Iklan

Walaupun masih menanggung kesakitan dan dijadual menjalani pembedahan memasukkan besi pada paha serta rahang Isnin ini, Rifqi tetap disatukan dengan pasangannya, Nur Sufia Amalin Che Ramli, 26, pada jam 10 pagi Jumaat.

Nur Sufia Amalin bersalam dengan Che Muhammad Rifqi Danial selepas selesai diijab kabul.

Iklan

Akad nikah dijalankan secara sederhana di ruang khas HSIP dengan kehadiran ibu bapa kedua-dua pihak dan saksi.

Menurut Nur Sufia Amalin, yang bekerja sebagai kerani pasar raya, mereka tetap memilih meneruskan majlis kerana persiapan sudah dilakukan sejak tiga bulan lalu.

Iklan

“Lama dah rancang nak nikah dan kami teruskan juga untuk ambil berkat sempena tarikh Maulidur Rasul hari ini.

“Kami tak bersanding, tak pakai baju pengantin pun kerana suami tak boleh bergerak, hanya akad nikah ringkas,” katanya kepada Sinar Harian.

Pasangan pengantin, Che Muhammad Rifqi Danial yang terlantar dan Nur Sufia Amalin (kanan) bergambar bersama keluarga di hospital.

Menurutnya, selepas akad nikah itu, kenduri tetap diteruskan di rumah nenek pengantin perempuan di Pahi dengan tetamu yang sudah dijemput hadir.

“Kalau bersanding tu selepas ini belum tahu lagi sama ada akan buat semula atau tidak kerana suami dijangka ambil masa beberapa bulan untuk pulih.

“Alhamdulillah yang penting selesai nikah dan saya ucapkan terima kasih kepada pihak hospital yang membantu akad nikah diadakan,” katanya.

Pasangan itu mula berkenalan pada November tahun lalu sebelum bertunang bulan lepas.

Pengantin lelaki berasal dari Kampung Bekok, manakala pengantin perempuan dari Pahi, kedua-duanya di Kuala Krai.

Pihak HSIP dalam kenyataan rasmi berkata, majlis berkenaan dilaksanakan dengan kebenaran keluarga serta diuruskan melalui Inisiatif Hospital Mesra Ibadah (HMI) dengan sokongan kakitangan hospital.