SHAH ALAM – Majoriti rakyat Malaysia memilih untuk subsidi pengasuhan terus diberikan kepada ibu bapa bagi mengatasi krisis kritikal apabila semakin banyak taska enggan menerima bayi berusia bawah setahun disebabkan kos pengasuhan yang terlalu tinggi.
Berdasarkan kaji selidik di empat platform utama media sosial Sinar Harian iaitu Facebook, Instagram, X dan YouTube, sebanyak 116 daripada 160 responden memilih subsidi pengasuhan terus kepada ibu bapa berbanding kepada taska atau melalui potongan rebat cukai.
Setakat jam 6 petang Jumaat, dapatan kaji selidik di Facebook merekodkan 17 responden atau 78 peratus memilih subsidi kepada ibu bapa, manakala tiga responden (14 peratus) memilih subsidi kepada taska.
Di Instagram pula, sembilan responden (50 peratus) memilih subsidi kepada ibu bapa, diikuti lima responden (28 peratus) memilih potongan cukai atau rebat.
Sementara itu, di platform X, tujuh responden atau 78 peratus turut menyokong subsidi diberikan kepada ibu bapa, manakala seorang responden (11 peratus) memilih subsidi kepada taska.
Di YouTube pula, 83 responden (76 peratus) memilih subsidi kepada ibu bapa dan 15 responden (14 peratus) menyokong subsidi diberikan kepada taska.
Seorang pengguna Instagram, mohdxashraf, mempersoalkan sama ada subsidi itu turut terpakai jika anak dihantar ke rumah pengasuh.
“Memang ada ke subsidi ini? Kalau hantar anak di rumah pengasuh dapat subsidi tak?” soalnya.
Seorang lagi pengguna YouTube, jaajaa7057, berpendapat subsidi wajar diberikan kepada taska kerana semua urusan dilakukan oleh pihak tersebut termasuk mengeluarkan modal.
“Keluarga yang menghantar anak ke taska itu sudah menjadi tanggungjawab,” ujarnya.
Sebelum ini, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bersetuju mempertimbangkan langkah meneliti semula Subsidi Yuran Pengasuhan untuk memastikan kos penjagaan bayi tidak membebankan ibu bapa dan pengusaha taska.
Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, kementerian menyedari cabaran dihadapi pengusaha taska dalam menyediakan perkhidmatan penjagaan bayi bawah setahun.
Bagaimanapun, beliau menegaskan pemberian geran berterusan bukan penyelesaian lestari kerana taska merupakan entiti perniagaan berdaftar.
Terdahulu, gabungan 24 persatuan taska seluruh negara menggesa kerajaan mempertimbangkan subsidi RM500 hingga RM600 seorang bayi bagi mengatasi krisis kritikal berikutan semakin banyak taska enggan menerima bayi bawah setahun disebabkan kos terlalu tinggi.
Presiden Persatuan Pengasuhan dan Perkembangan Awal Kanak-kanak Berdaftar Malaysia (PPBM), Norsheila Abdullah berkata, langkah itu penting kerana pengasuhan bayi memerlukan lebih tenaga kerja, kepakaran dan kawalan keselamatan berbanding kanak-kanak berusia dua tahun ke atas.
Menurutnya, kerajaan harus menyedari pendidikan awal kanak-kanak bukan sekadar penjagaan, sebaliknya pelaburan strategik negara untuk membentuk generasi berkualiti, berdaya saing dan berakhlak.