ALOR GAJAH - [DIKEMAS KINI] Hati mana yang tidak luluh apabila melihat anak kecil berusia lima tahun terpaksa bertarung dengan penyakit kanser, sedangkan pada usia sebegitu dia sepatutnya ceria bermain seperti kanak-kanak lain.
Itulah dugaan yang dihadapi oleh anak keempat daripada lima beradik, Muhammad Aqra Rizki Yuraimi, yang menghidap kanser saraf (neuroblastoma) dan kini bergantung kepada ubat-ubatan khusus yang dianggarkan menelan kos mencecah ratusan ribu ringgit.
Bapanya, Yuraimi Yusof, 44, berkata, anaknya disahkan menghidap kanser tahap empat sejak September tahun lalu, menyebabkan beliau terpaksa berhenti kerja untuk menguruskan anak-anaknya termasuk Aqra, sebagaimana dia mesra dipanggil dalam kalangan ahli keluarga.
Menurut Yuraimi, isterinya, Noranizawaty Suliman, 35, pula terpaksa berpisah jauh dengan mereka dengan bekerja sebagai pembantu kantin di tempat bapa saudaranya di Politeknik Pagoh bagi meringankan beban kewangan keluarga.
Katanya, apa yang merisaukan ketika ini ialah apabila anaknya memerlukan lima botol ubat qarziba beta berharga RM350,000 untuk menjalani rawatan imunoterapi dinutuximab beta (qarziba) yang dijadualkan bermula bulan ini di Hospital Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani.
“Sedangkan bil hospital sehingga kini masih tertunggak mencecah RM70,000, inikan pula kos ubat, memandangkan ubat ini tidak disubsidi oleh kerajaan.
“Jadi, saya telah bertemu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abd Halem, untuk memohon bantuan kutipan sumbangan. Sehingga kini, kami telah berjaya melunaskan pusingan pertama rawatan qarziba sebanyak RM130,000,” katanya ketika menerima kunjungan Mohd Noor Helmy di kediamannya di Kampung Rembia, di sini pada Jumaat.
Sementara itu, Mohd Noor Helmy berkata, pihaknya telah melancarkan tabung sumbangan bagi melengkapkan kos ubatan kanak-kanak tersebut, dan sejak Khamis hingga hari ini, sebanyak RM50,000 telah berjaya dikumpulkan.
"Saya berterima kasih atas sikap prihatin rakyat berbilang kaum termasuk dari Sabah dan Sarawak yang turut membantu menyalurkan sumbangan, serta berharap baki RM200,000 dapat dikumpulkan dalam masa terdekat," katanya.
Ujarnya, Penyelaras Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Rembia, Datuk Fairul Nizam Roslan telah memanjangkan kes kanak-kanak ini kepada Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dan keluarga tersebut akan menerima bantuan bulanan RM500, selain bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat bermula bulan ini.
“Saya dimaklumkan sumbangan RM50,000 itu datang daripada rakyat Malaysia pelbagai kaum – Melayu, Cina, India, termasuk dari Sabah dan Sarawak. Malah, saya dimaklumkan turut ada penyumbang dari Indonesia,” katanya.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan menerusi akaun Bank Islam 04024029371297 atas nama Yuraimi Yusof atau menghubunginya di talian 018-7636205.