IPOH - Persepsi salah terhadap Islam yang sering digambarkan melalui media massa dan dunia digital menjadi antara cabaran terbesar dalam dunia dakwah hari ini, kata Penyelia Mubaligh Islam Negeri Perak, Wan Masindra Juja, 44.
Beliau yang dinobatkan sebagai penerima Anugerah Tokoh Ibnu Abbas (Tokoh Pendakwah) sempena sambutan Maulidur Rasul 1447 Hijrah peringkat negeri Perak berkata, cabaran itu bukan hanya dihadapi dalam kalangan Orang Asli, malah merentasi semua lapisan masyarakat.
"Kadang-kadang media menggambarkan Islam sebaliknya, sedangkan bila dikaji berpandukan al-Quran dan sunnah, Islam itu bersih dan berbeza daripada apa yang ditonjolkan melalui kehidupan segelintir umat Islam hari ini," katanya ketika ditemui pemberita.
Wan Masindra yang berasal daripada suku Temiar di Kampung Kenang Jalong Tinggi, Sungai Siput pernah dinobatkan sebagai Tokoh Mualaf Kebangsaan pada 2023 dan kini aktif berdakwah hampir 18 tahun, khususnya bersama komuniti Orang Asli.
Katanya, pengalaman hidup sebelum memeluk Islam memberinya perspektif berbeza untuk memahami kekurangan dan keperluan pendekatan dakwah yang sesuai kepada masyarakat.
"Islam ini penting cara penyampaiannya. Bila guna cara yang betul, orang lebih mudah faham.
"Saya sendiri dulu tertarik kepada Islam kerana melihat sistematiknya ibadah, ada azan, ada tarawih, suasana al-Quran. Itu yang tarik minat saya untuk lebih mengenali Islam," ujarnya.
Tambahnya lagi, kejayaan mengislamkan seseorang bukan penamat perjuangan, sebaliknya bermulanya cabaran yang lebih besar.
“Selepas syahadah, pengisian untuk beramal itu yang paling sukar. Ada yang rapuh imannya, mudah terpengaruh dan akhirnya meninggalkan Islam. Sebab itu kebajikan mereka perlu dijaga, perlu ada bimbingan berterusan," katanya.
Dalam tempoh hampir dua dekad, beliau bersama rakan-rakan turut membangunkan Sekolah Agama Rakyat Nurul Hikmah di Kampung Orang Asli Sungai Tonggang iaitu sekolah agama rakyat kedua khusus untuk anak-anak Orang Asli di negeri ini.
Bapa kepada seorang anak ini menyifatkan anugerah yang diterima bukan sekadar pengiktirafan peribadi, tetapi amanah untuk memberi motivasi kepada lebih ramai pendakwah di lapangan.
"Saya harap lebih ramai yang termotivasi untuk terus melaksanakan perintah ALLAH SWT. Dakwah ini tidak boleh bergantung pada seorang, ia perlu ada organisasi dan pelapis supaya kerja ini boleh diteruskan dengan lebih sistematik," katanya.
Sambutan Maulidur Rasul yang berlangsung di Pusat Konvensyen Casuarina di sini pada Khamis, bertemakan 'Ukhuwah Islamiah Asas Penyatuan Ummah' itu disempurnakan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
Dalam majlis itu, Sultan Nazrin turut berkenan menyampaikan Anugerah Badan Bukan Kerajaan (NGO) kepada Angkatan Belia Islam Malaysia Cawangan Negeri Perak (ABIM) dan Anugerah Khas kepada seorang guru, Ismail Muhamad Zin, 44.
Anugerah Pegawai Masjid pula dianugerahkan kepada Rosli Mat, 61, (Tokoh Imam) Sirat Abdullah, 64, (Tokoh Bilal) dan Mat Yusoff Suliman, 72, (Tokoh Siak).
Masing-masing membawa pulang wang tunai RM5,000 berserta plak.
Anugerah Keluarga Ammar bin Yasir (Keluarga Mithali) tahun ini dianugerahkan kepada Umi Kalsom Bahak, 74, dari Bidor.
Ibu tunggal kepada enam cahaya mata itu membawa pulang wang tunai RM10,000 dan plak berserta pakej menunaikan umrah.