SUMBANGAN Asas Rahmah (SARA) merupakan bantuan kerajaan dalam bentuk wang tunai yang dimasukkan terus ke dalam MyKad penerima berumur 18 tahun ke atas.
Ia hanya boleh digunakan untuk membeli barangan keperluan asas seperti makanan dan barangan dapur di pasar raya dan kedai runcit berdaftar.
Walau bagaimanapun, berlaku trend penyalahgunaan bantuan ini termasuk penerima menukarkannya kepada wang tunai serta menawarkan barangan di luar senarai bantuan.
Tindakan ini dikhuatiri mencemarkan tujuan asal bantuan dan menjejaskan keberkesanan keseluruhan sistem bantuan sosial.
Apabila bantuan yang dikhususkan untuk pembelian barang asas ditukar kepada tunai, wujud risiko ia digunakan untuk tujuan yang tidak berfaedah.
Lebih membimbangkan, apabila ada pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan dengan membeli nilai bantuan SARA pada kadar lebih rendah.
Hal ini mencetuskan bentuk ‘pasaran gelap bantuan’ yang boleh melemahkan integriti sistem sokongan kerajaan.
Tindakan menukar nilai MyKad kepada wang tunai boleh mengakibatkan ketirisan bantuan iaitu penerima tidak lagi menggunakan dana tersebut untuk tujuan asal.
Akhirnya, matlamat kerajaan untuk meningkatkan kesejahteraan isi rumah miskin dan berpendapatan rendah tidak tercapai.
Oleh itu diharapkan mekanisme pemantauan diperketatkan, termasuk pengesanan corak pembelian yang mencurigakan dan mengenakan tindakan terhadap pihak yang memperdagangkan bantuan tersebut.
Langkah ini penting bagi melindungi bantuan daripada disalah guna memandangkan ia dirangka khusus untuk menjamin akses rakyat terhadap keperluan asas seperti makanan dan barangan dapur.
Kesimpulannya, sangat penting untuk semua pihak, termasuk kerajaan, penerima bantuan, dan masyarakat bekerjasama dalam memastikan bantuan seperti SARA digunakan dengan cara yang betul dan beretika.
Pemantauan yang lebih ketat, pendidikan kewangan kepada penerima, dan sistem pelaporan yang telus harus diwujudkan bagi menjamin bahawa setiap bantuan yang disalurkan benar-benar memberi kesan positif dan mencapai kumpulan sasaran yang ditetapkan.