SHAH ALAM – Kerajaan Selangor menafikan dakwaan kononnya menggadaikan tanah bagi pembinaan Sekolah Cina serta membuat keputusan baharu mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).
Pejabat Menteri Besar Selangor dalam kenyataan menegaskan, dakwaan yang tular di media sosial itu adalah tidak benar dan jelas berniat mengganggu-gugat keharmonian kaum di negeri ini.
Menurut kenyataan itu, pemberian tanah untuk sekolah bukan perkara baharu dan tidak terhad kepada Sekolah Cina semata-mata.
“Sebaliknya ia merupakan kelulusan yang telah diumumkan pada 7 Julai 2023 selepas permohonan daripada Sekolah Menengah Persendirian Cina Pin Hwa, Klang yang mengalami masalah kepadatan pelajar.
“Pada masa sama, tanah turut diluluskan kepada Pusat Pendidikan Al-Amin di Gombak atas alasan sama iaitu peningkatan jumlah pelajar,” jelas kenyataan itu pada Khamis.
Kenyataan itu turut memaklumkan bahawa sebanyak RM300,000 telah diluluskan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Midlands bagi tujuan pembinaan bangunan asrama.
Selain itu, keputusan berkaitan pengiktirafan sijil UEC bukan dibuat pada tahun ini, sebaliknya telah diputuskan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada 21 Oktober 2015.
“Bantuan peruntukan kepada sekolah-sekolah di Selangor juga bukan sesuatu yang baharu, sebaliknya telah dimulakan sejak tahun 2009 ketika Pas turut menjadi sebahagian daripada kerajaan negeri,” katanya lagi.
Sehingga kini, kerajaan negeri sudah menyalurkan RM244.124 juta kepada pelbagai aliran sekolah termasuk Sekolah Agama Rakyat, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil, Sekolah Mubaligh, Sekolah Menengah Persendirian Cina, Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Menengah Kebangsaan.
“Bantuan kepada sekolah haruslah dilihat dari aspek pendidikan dan bukannya dijadikan isu untuk memecahbelahkan masyarakat atau menimbulkan rasa syak wasangka antara kaum,” tegas kenyataan itu.