Mahkamah Tinggi tetapkan 20 November keputusan permohonan gali semula kubur kadet Palapes UiTM

Iklan
Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini menetapkan 20 November depan bagi pendengaran keputusan permohonan gali semula kubur Muhammad Amir Rusyaidi.

SHAH ALAM - Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 20 November depan bagi pendengaran keputusan permohonan gali semula kubur Pegawai Kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Muhammad Amir Rusyaidi Muhamad Zaidi.

Hakim Roszianayati Ahmad menetapkan tarikh itu selepas pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Peguam Negara (AGC) sebagai responden, memohon masa untuk memfailkan afidavit jawapan terhadap permohonan yang dibuat bapa Muhammad Amir Rusyaidi, Muhamad Zaidi Abdul Rahman, 53.

Iklan
Iklan

Beliau kemudiannya menetapkan 10 Oktober depan bagi kedua-dua responden memfailkan afidavit jawapan manakala pemohon memfailkan afidavit balasan pada 24 Oktober.

"Hujahan bertulis difailkan serentak pada atau sebelum 7 November 2025 manakala tarikh untuk keputusan (permohonan) 20 November 2025,” katanya.

Iklan

Permohonan dikemukakan Muhamad Zaidi yang diwakili peguam Tun Laila Tun Rafaee itu antaranya bagi membolehkan satu perintah dikeluarkan untuk menggali semula kubur Muhammad Amir Rusyaidi, 25, dan perintah kedua (mengarahkan) pakar forensik Hospital Kuala Lumpur menjalankan bedah siasat ke atas jasad tersebut.

"Perintah ketiga adalah (untuk mengarahkan) pakar forensik itu mengeluarkan keputusan bedah siasat sebulan selepas bedah siasat dilakukan.

Iklan

"Perintah seterusnya untuk Ketua Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah melantik satu pasukan baharu dari Ibu Pejabat Polis Bukit Aman bagi mengambil alih siasatan dan (kelima) satu perintah untuk inkues dijalankan bagi penyiasatan punca kematian sebenar Muhammad Amir Rusyaidi,” katanya.

Hadir pada prosiding hari ini, Peguam Kanan Persekutuan Azroul Hisham Azulan mewakili KDN (responden pertama) manakala Pengarah Pendakwaan Selangor Kalmizah Salleh mewakili Peguam Negara Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar (responden kedua).

Sementara itu, ibu Muhammad Amir Rusyaidi, Azwati @Azziaton Muhammed Ghalip, 53, ketika ditemui di luar mahkamah berkata, permohonan berkenaan dilakukan bagi mengetahui punca sebenar kematian anak sulungnya itu dan memaklumkan jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Taman Firdaus Kampung Sungai Lang di Banting, Kuala Langat, Selangor.

Media sebelum ini melaporkan dalam kejadian pada 10 November 2024, pelajar UiTM itu dikatakan pengsan semasa menyertai sesi latihan di padang kawad sebelum dibawa ke hospital untuk rawatan dan dilaporkan meninggal dunia tiga hari kemudian. - Bernama